YWP ambil tindakan undang-undang terhadap Wong dan bukan PAC


KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini menegaskan bahawa ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh atas kapasiti peribadinya, kerana didakwa menjatuhkan kredibiliti badan itu.

Menurut kenyataan YWP, badan itu tidak mempertikai atau mengambil tindakan undang-undang ke atas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebaliknya ke atas Wong secara peribadi kerana telah membuat tiga pertuduhan palsu berhubung penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang, YWP berhak mempertahankan diri di atas beberapa tuduhan berkenaan.

“Tuduhan pertama Wong ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara automatik dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan terlibat dalam penjualan tanah DBKL, keduanya penglibatan YWP dalam penjualan 97 tanah DBKL termasuk Taman Rimba Kiara,” menurut kenyataan YWP hari ini.

Tuduhan ketiga yang dibuat oleh Wong adalah YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat tidak dipantau oleh sebarang pihak berkuasa.

“YWP menafikan segala pertuduhan itu sekeras-kerasnya dan mempertahankan nama baik pihak YPW, agar dapat meneruskan usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan dan memerlukan,” katanya.

Pada Khamis (19 Nov), Wong selaku Pengerusi PAC dilaporkan mengingatkan YWP supaya tidak mengugut ahli jawatankuasa PAC dengan tindakan undang-undang, susulan dakwaan berhubung penjualan tanah milik DBKL.

Menurut Wong, sebarang tuduhan atau ugutan terhadap PAC berhubung isu yang disiasat jawatankuasa itu boleh dianggap mencampuri bidang kuasa Parlimen dan salah di sisi undang-undang. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *