Yau Chee Xian penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMS –


Oleh: Aivi Crystel Sibil

KOTA KINABALU: Graduan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Yau Chee Xian satu-satunya pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Matematik Dengan Ekonomi) yang menerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.

“Saya sangat berterima kasih kepada pensyarah, terutama mentor saya sebab mereka banyak membantu saya dalam pengajian sehingga akhirnya dinobatkan sebagai penerima anugerah ini.

“Saya sebenarnya tidak menyangka terpilih menerima anugerah ini kerana UMS mempunyai ramai pelajar yang hebat dan cemerlang. Syukur terima kasih saya terpilih sebagai penerima anugerah yang berprestij ini,” katanya.

Mengulas lanjut, graduan yang berasal dari Ipoh itu memaklumkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidaklah terlalu memberi cabaran kepada beliau sepanjang pengajiannya.

“PKP sebenarnya memberi banyak kebaikan berbanding dengan cabaran kerana sekiranya kelas dilaksanakan secara dalam talian, kuliah tersebut boleh dirakam dan didengar kembali untuk tujuan ulang kaji, tetapi sekiranya kuliah secara fizikal ia sedikit memenatkan dan tidak dapat dirakam.

“Namun masalah internet pula menjadi masalah selain tidak mengalami pengalaman bersama rakan-rakan siswa yang lain secara fizikal,” katanya.

Beliau turut berkata, faktor keluarga serta kewangan mendorongnya untuk belajar, dimana keluarga beliau menyediakan segala keperluannya, dan beliau hanya perlu fokus dalam pembelajarannya.

“Ibu bapa saya juga tidak pernah memaksa saya dalam apa pun perkara termasuklah dalam mengambil subjek matematik dan ekonomi ini, termasuklah orang lain,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, dirinya tetap menginginkan nasihat dan cadangan terutama dalam isu pekerjaan, kerana agak susah bagi beliau untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kos yang diambil.

Chee Xian juga menegaskan bahawa kemahiran berkomunikasi dan kemahiran insaniah yang lain sangat penting di zaman ini berbanding dengan CGPA atau kecermerlangan dalam akademik.

“Saya cadangkan kepada semua untuk mengikuti beberapa aktiviti yang memfokuskan kepada soft skill dan komunikasi.

“Untuk pembelajaran, saya hanya belajar sesuai kemampuan saya, cuba untuk belajar dengan cara sederhana tanpa harus belajar sampai larut malam,”ujarnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *