Wanita mengandung boleh ambil vaksin


Ibu hamil mungkin boleh menerima vaksin Covid-19, tetapi ia akan dipertimbangkan berdasarkan ‘kes’, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Bercakap pada sidang media maya selepas mesyuarat jawatankuasa khas jaminan akses bekalan vaksin Covid-19 hari ini, Adham berkata wanita hamil perlu berjumpa doktor terlebih dahulu mengenai vaksin tersebut.

“Mereka akan dibenar menerima vaksin, tetapi dengan syarat mereka mesti berbincang dengan doktor yang perlu melakukan penilaian risiko,” katanya.

Berikutan itu, katanya mereka akan diberi akses kepada vaksin berkenaan jika Kementerian Kesihatan menganggap mereka berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Adham turut mengumumkan ibu yang sedang menyusu bayi layak mendapat imunisasi, kerana data klinikal semasa tidak menunjukkan adanya kontraindikasi atau kesan sampingan negatif terhadap susu ibu.

Beliau berkata, mereka yang kurang daya tahan jangkitan, seperti pesakit HIV, juga akan dipertimbangkan untuk vaksinasi. Sama seperti wanita hamil, individu terbabit juga mesti berunding dengan pengamal perubatan mengenai risiko dan faedah vaksin.

Walaupun fasa pertama program imunisasi akan berlangsung hingga akhir April, Adham mendedahkan rancangan untuk fasa kedua program itu sudah berjalan.

“Kami akan berusaha untuk menyasarkan mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi, di mana wujud banyak kluster, atau mereka yang tinggal di kawasan yang sukar diakses dan berisiko dijangkiti,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *