WANITA MAUT KEMALANGAN, LIMA LAGI CEDERA


PAPAR: Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Papar Lama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang maut, Christina Ginsu, 44, yang menaiki Proton Axia dikatakan parah selepas tersepit di tempat duduk hadapan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kemalangan membabitkan Perodua Axia, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah lori tiga tan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.33 petang sebelum mengerahkan sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa didapati tersepit di tempat duduk hadapan dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, mangsa yang lain berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun yang cedera diberikan rawatan.

“Seorang daripada mangsa lelaki turut dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.42 petang,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *