UPKO : TIDAK PERLU DARURAT


KOTA KINABALU: UPKO berpendapat pengisytiharan darurat adalah tidak perlu untuk menangani penularan Covid-19 kerana negara ini sudah mempunyai undang-undang sedia ada termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).

Setiausaha Agungnya, Nelson W Angang berkata, akta berkenaan memberi kuasa kepada kerajaan untuk membuat peraturan, mengawal pergerakan orang dan juga untuk menggerakkan angkatan tentera seperti apa yang sedang dan telah dilakukan di negara ini dalam menangani situasi covid-19.

”Terdapat laporan-laporan dan desas-desus yang mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan keadaan darurat untuk menangani penularan Covid 19 di negara ini.

”Laporan-laporan ini juga menyatakan bahawa alasan sebenar di sebalik pengisytiharan darurat ini adalah kerana kewujudan ketidakstabilan politik yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan dan kemungkinan bahawa Perdana Menteri akan kehilangan atau tidak mendapat sokongan majoriti apabila Parlimen bersidang pada awal November ini menerusi undian usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

”Dan ada kemungkinan Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan dalam sidang tersebut dan sekiranya ini benar, maka tindakan Kerajaan Persekutuan dengan menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat akan menjadi satu preseden atau amalan yang sangat berbahaya bagi proses demokrasi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Nelson berkata, terdapat sesetengah pihak yang menyokong supaya pengisytiharan darurat di negara dibuat untuk menangani covid-19 dengan memberikan contoh terdapat negara lain yang telah pun mengisytiharkannya dan oleh itu ia bukannya sesuatu yang baru.

”Tetapi pihak-pihak ini tidak pula menjelaskan kenapa negara-negara tersebut terpaksa mengisytiharkan keadaan darurat.

”Sebagai contoh, di Perancis pihak kerajaan telah mengisytiharkan darurat atas sebab keadaan kesihatan awam yang mendesak dengan memberi perintah untuk orang ramai tidak keluar dari rumah kecuali mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting, untuk membeli makanan dan barangan harian rumah serta untuk membuat perintah berkurung.

”Di Sepanyol, pihak kerajaan pusat telah mengisytiharkan keadaan darurat dinegara itu untuk memberikannya kuasa yang lebih luas untuk mengatasi serta mengambil kuasa daripada pihak berkuasa wilayah (regional authorities) kerana di negara tersebut pihak berkuasa wilayah yang mempunyai kuasa dalam urusan pentadbiran bekaitan dengan Kesihatan Umum (Public Health).

”Kerajaan pusat Sepanyol sebelum ini telah memberikan perintah sekatan seperti menghadkan pergerakkan orang ramai dengan hanya membenarkan pergerakkan bagi tujuan penting sahaja, perhimpunan sosial lebih dari 6 orang adalah dilarang dan waktu operasi premis perniagaan seperti restoran dan kedai telah dihadkan.

”Namun, pihak berkuasa wilayah di Sepanyol telah menentang perintah-perintah tersebut sehingga telah membawanya ke peringkat mahkamah untuk membatalkan perintah-perintah tersebut dan ini telah membuatkan dan mendorong kerajaan pusat Sepanyol untuk mengisytiharkan darurat untuk mengatasi semua ini,” katanya.

Katanya lagi, di Israel, keadaan darurat telah diisytiharkan untuk membolehkan kerajaan antara lain mengenakan perintah sekatan pergerakan bersyarat, perintah kawalan pergerakkan (lockdown), pengasingan di rumah (Kuarantin dirumah) dan kebenaran untuk memasukki rumah orang yang telah dijangkiti covid-19.

”Rakyat Malaysia suda mengetahui dan sudah biasa dengan kesemua perintah dan sekatan yang dinyatakan di atas kerana negara kita telah pun mengamalkan pelbagai jenis perintah sekatan dan kawalan pergerakan sebelum ini sehinggalah sekarang melalui kuasa yang diberikan di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan oleh sebab itu, tidak ada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tujuan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini adalah untuk menghalang daripada kerajaan persekutuan ditukar dan untuk menghalang daripada sidang parlimen berlangsung, maka itu adalah satu penyalahgunaan kuasa dan prosedur (abuse of power and procedure).

”Sekiranya Perdana Menteri takut akan kehilangan sokongan majoriti, pengisytiharan keadaan darurat tidak boleh digunakan untuk menghalang ianya daripada berlaku atau untuk mempertahankan jawatannya.

”Itu bukanlah niat Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa untuk pengisytiharan darurat dibuat. Sekiranya ini dibenarkan maka kita akan menetapkan satu preseden (precedent)/amalan yang sangat berbahaya untuk negara ini.

”Pengisytiharan Keadaan darurat akan menyebabkan Parlimen digantung bersama dengan segala proses demokrasi yang ada. Apa yang juga membimbangkan adalah peranan pembangkang sebagai check and balance terhadap setiap keputusan dan tindakan kerajaan juga akan terkesan.

”Dalam keadaan darurat undang-undang dapat digubal tanpa melalui proses yang sepatutnya melalui sidang Parlimen. Keyakinan terhadap ekonomi negara juga akan terkesan dan dipengaruhi oleh semua ini,” katanya lagi.

Nelson berkata, sekiranya ada pihak yang mahukan pengisytiharan keadaan darurat ini dibuat untuk mengelakkan daripada pilihanraya umum mengejut berlaku ketika negara sedang berusaha untuk menangani peningkatan penularan covid-19, kita harus memberitahu ahli politik dan para pemimpin kita untuk mengambil tanggungjawab ini dan membuat keputusan yang terbaik untuk negara kita.

Katanya, ketidakstabilan politik ini berlaku adalah disebabkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan itu sendiri. Pertelingkahan yang berlaku adalah dikalangan pemimpin-pemimpin parti komponen kerajaan persekutuan antara UMNO dan PPBM.

”Jika benar Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti, ini bererti bahawa kerajaan beliau telah gagal untuk meberikan satu pentadbiran yang stabil dan juga telah gagal untuk memberi keyakinan terhadap kepimpinan pentadbiran beliau.

”Bermaksud Kerajaan ini telah gagal dalam tanggungjawab mereka untuk mentadbir negara dengan berkesan dan bertanggungjawab. Mereka sendiri yang patut dipersalahkan di atas kegagalan ini.

”Sekiranya Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti, ianya tidak bermaksud bahawa satu pilihanraya mengejut perlu diadakan. Perdana Menteri mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

”Sekiranya Perdana Menteri khuathir dan berpendapat bahawa pilihanraya mengejut akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk dalam peningkatan penularan covid-19 di negara ini, beliau boleh memilih untuk meletak jawatan dan membiarkan pemimpin yang dapat meraih sokongan majoriti menjadi Perdana Menteri yang baru dan membentuk kerajaan baru.

”Tentunya PM baru dan kerajaan barunya ingin memastikan bahawa keadaan penularan covid-19 di negara ini dapat ditangani dengan baik dan pilihanraya mengejut dapat dielakkan,” katanya.

Tambah beliau, tanggunjawab dan peranan ahli politik dan ahli parlimen adalah penyelesaian kepada kemelut ini.

”Sekiranya mereka benar-benar serius dalam usaha untuk menangani ancaman penularan covid -19 yang meningkat dan semakin teruk di negara kita, maka mereka harus bersama-sama bertindak, berhenti bermain politik dan menumpukan perhatian kepada segala usaha yang perlu dibuat untuk kebaikkan negara kita.

”Kita perlu yakin terhadap proses demokrasi negara kita. Kita perlu memastikan Parlimen mengekalkan kebebasannya. Samada pilihanraya mengejut perlu dielakkan buat masa ini untuk menangani penularan pandemik covid-19, ini adalah suatu perkara yang perlu diambil kira oleh para pemimpin dan ahli-ahli Parlimen kita dalam membuat suatu keputusan yang bertanggungjawab dan terbaik untuk negara kita dalam sidang Parlimen yang akan bersidang pada bulan November ini.

”Penyelesaian terletak pada mereka. Tindakan dan keputusan mereka akan menentukan sama ada keadaan di negara kita akan bertambah baik atau tidak. Yang pastinya penyelesaiannya bukan bergantung samaada Pengisytiharan keadaan darurat di negara kita dibuat atau tidak,” katanya lagi.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *