UPKO KOTA BELUD SOKONG KERAJAAN SABAH TANGANI KEBAJIKAN RAKYAT PASCA PKP


KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahagian Kota Belud memberi sokongan penuh kepada pucuk pimpinan Kerajaan Sabah untuk menangani isu berkaitan kebajikan rakyat pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya, Datuk Ewon Benedick berkata, isu kebajikan rakyat, selain pembangunan infrastruktur, merupakan antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bahagian UPKO Kota Belud pada Ahad.

“Penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan semua rakyat sebab banyak yang kehilangan pekerjaan, ada perusahaan atau perniagaan yang dikecilkan dan ditutup.

“Inilah isu besar yang menjadi keprihatinan utama rakyat pada masa ini, selain daripada pembangunan infrastruktur berterusan yang diperlukan bagi memacu semula ekonomi,” katanya.

Pimpinan UPKO Kota Belud turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan PKP serta pelbagai inisiatif bantuan terus kepada rakyat.

“Selaku Ahli Jemaah Menteri Sabah, saya ambil maklum keprihatinan pimpinan, ahli-ahli parti dan rakyat yang mengharapkan inisiatif-inisiatif kebajikan terus diperkasakan.

“Justeru, bagi UPKO Kota Belud, kita memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri bagi menangani isu-isu kebajikan rakyat ini sama ada melalui inisiatif jangka pendek mahupun inisiatif jangka panjang,” katanya.

Selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon berkata kementeriannya akan melaksanakan pembinaan 300 unit Rumah Sejahtera Rakyat Sabah pada tahun ini dengan peruntukan RM18 juta yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Peruntukan ini diluluskan bagi membantu kebajikan rakyat yang memerlukan dan merupakan antara inisiatif pasca PKP yang akan dilaksanakan oleh KPLB Sabah.

“Saya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan melalui sokongan Ketua Menteri agar dapat melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu di Kementerian khususnya yang berkaitan dengan kebajikan rakyat termasuk program-program dan aktiviti ekonomi tambahan kelak.

“Pakej-pakej bantuan Covid yang telah dilancarkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menunjukkan komitmen tinggi kita membantu rakyat. Saya amat yakin lebih banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan bagi membela kebajikan rakyat pasca PKP selepas ini,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyampaikan sumbangan 3,000 helai topeng penutup mulut kepada Mahkamah Anak Negeri Kota Belud dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian UPKO.-http://beritasabah.com

Ewon menyampaikan sumbangan topeng penutup mulut kepada Ketua Daerah Jaintin Molondoi





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *