UMS Teroka Kerjasama Dengan Tanri Abeng University, Indonesia –


JAKARTA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengadakan kerjasama antarabangsa bersama Tanri Abeng University (TAU), Indonesia.

Perkara itu dinyatakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor selepas mengadakan kunjungan hormat kepada pemilik yang juga Rektor TAU, Dr. Tanri Abeng, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa persetujuan awal telah dicapai bagi menjadikan UMS sebagai rakan strategik baharu TAU.

“Program-program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bakal diperkasakan dengan kerjasama strategik yang akan dijalinkan kelak.

“Fokus kerjasama yang bakal dilaksanakan ialah dengan mengadakan sesi e-Pembelajaran dan pembelajaran teradun disamping pendekatan bersemuka yang akan dirancang mengikut kesesuaian

“Ini mengambil kira bahawa prospek pelajar yang tinggal di merata Indonesia yang sungguh luas kawasannya,” ujar Dr. Kasim.

Beliau berkata, kedudukan geografi wilayah Sabah yang berjiran dengan wilayah Kalimantan Indonesia selain budaya yang hampir sama akan membolehkan pengajian para pelajar dari Indonesia kelak berlangsung dengan lebih efektif.

”COVID-19 memperlihatkan bahawa pembelajaran untuk kursus-kursus profesional seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) mampu ditawarkan dengan baik menerusi atas talian, yakni e-Pembelajaran.

“Sebagaimana universiti awam lain, UMS mempunyai pengalaman dan trek rekod melaksanakan program pengajian sedemikian dengan jayanya.

“Oleh itu, saya telah menyatakan kepada Dr Tanri, bahawa UMS bersedia untuk menjayakan visi TAU memastikan kecemerlangan akademik dapat dijayakan sama oleh pihak UMS,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Kasim turut memaklumkan bahawa usaha untuk mewujudkan kerjasama dengan TAU juga adalah sebagai sahutan terhadap saranan Kementerian Pendidikan Tinggi agar Universiti-universiti Awam di Malaysia dapat melebarkan jaringan kerjasama dengan universiti luar negara.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan yang giat dijalankan oleh UMS,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Tanri memberitahu, sejak penubuhannya, TAU telah membuka banyak peluang kepada para pelajar tempatan Indonesia dan antarabangsa untuk menimba ilmu Pendidikan tinggi di peringkat sarjana muda dan sarjana, khususnya MBA.

“Berasaskan kepada visi untuk menjadi universiti bertaraf antarabangsa yang menyediakan graduan kompetitif dalam kerjaya dan bidang keusahawanan, TAU kian dikenali universiti tersohor dunia.

“Hubungan kerjasama dalam program MBA umpamanya turut dijalin dengan beberapa universiti ternama di dunia,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Indonesia-Malaysia Business Council.

Katanya, TAU kini ke arah pusat kecemerlangan akademik yang melatih para pelajarnya dalam pengurusan pentadbiran perniagaan dan keusahawanan menjadi modal insan yang profesional dan karyawan hebat yang dilengkapi dengan ilmu-ilmu kontemporari sesuai dengan perkembangan perniagaan di dunia.

“Dalam hubungan ini, universiti di Malaysia dilihat sebagai rakan strategik yang mempunyai kepakaran dan prestij yang boleh meningkatkan lagi pencapaian TAU,” jelas Dr. Tanri.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *