UMS lahirkan graduan cemerlang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah melalui PLUMS –


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melahirkan 13 graduan cemerlang dalam kalangan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24/

Kesemua mereka menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengeluaran Ternakan) yang dikendalikan Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS).

Pada awal penubuhan program itu, pelajar dari jabatan berkenaan adalah kohot pertama yang mengikuti pengajian dalam program berkenaan dan mendapat tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah sepenuhnya.

Dalam kelompok pelajar berkenaan, terdapat pasangan suami isteri yang bersama – sama melanjutkan pengajian dan berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana Muda pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Canselor UMS.

Salah seorang graduan, Noni Tangkim, 51, memberitahu, beliau sendiri telah memujuk suaminya Cyril Jinuil, 54, untuk bersama – sama melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi setelah teruja melihat suasana universiti ketika menghantar anak melanjutkan pengajian di universiti.

“Lantaran itu, kami terus memohon dan mendaftar untuk mengikuti pengajian di dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengeluaran Ternakan) dibawah kendalian PLUMS.

“Sepanjang pengajian, walaupun bertugas dalam jabatan dan pengajian yang sama, kami terus bertekad untuk menamatkan pengajian.

“Saya pernah beberapa kali hampir berputus asa semasa dalam perjuangan ini, namun sokongan dan dorongan suami serta anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk menamatkan pengajian ini dengan jayanya” katanya sambil tersenyum gembira.

Noni ditemui selepas menerima skrol ijazah pada majlis konvokesyen, di sini.

Pasangan berkenaan turut mengajak rakan – rakan yang lain untuk bersama – sama meningkatkan ilmu pengetahuan dengan mengikuti program – program yang dikendalikan PLUMS.

‘Programnya bukan sahaja di iktiraf, malahan sangat sesuai kepada mereka yang bekerja sambil belajar.

“Kuliahnya dikendalikan bersemuka pada hujung minggu oleh tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam bidang akademik dan industri,” jelas mereka.

Untuk rekos, PLUMS merupakan salah satu pejabat pentadbiran di dalam UMS yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program – program universiti melalaui konsep Pengajian Sepanjang Hayat (PSH).

Program kendalian PLUMS boleh diikuti oleh semua lapisan masyarakat tempatan atau antarabangsa yang memiliki kelayakan.

Maklumat lebih lanjut boleh melayari https://www.ums.edu.my/plums/ atau hubungi di talian 088- 329 380.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *