Total Lockdown: Kebajikan pelajar keutamaan UMS


Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar termasuk ketika pelaksanaan Total Lockdown yang sedang berkuatkuasa sehingga 14 Jun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, seperti beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) akan memantau situasi dan keperluan pelajar dari semasa ke semasa.

“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan JHEP bersama barisan kepimpinan pelajar bagi tujuan ini.

“Mereka bertanggungjawab menguruskan segala sumbangan atau bantuan yang diberikan oleh organisasi, agensi kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) selain sumbangan daripada UMS sendiri.

“Antaranya, penyediaan Food Bank pada setiap Isnin hingga Khamis bagi memastikan kesemua pelajar di Kolej Kediaman dalam kampus dan pelajar Non Residen atau yang menyewa di sekitar Kota Kinabalu, mendapat bekalan makanan yang mencukupi ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Taufiq

Taufiq berkata, UMS juga memantau rapat tahap kesihatan fizikal para pelajar.

“Sekiranya ada yang bergejala, mereka akan segera dirujuk ke Hospital UMS untuk menjalani saringan ujian Covid-19. Ini merupakan pendekatan yang kita lakukan sejak PKP 1.0 lagi.

“Inisiatif lain yang turut dijalankan termasuklah tinjauan berkala oleh Kaunselor JHEP bagi memastikan tahap kesihatan mental para pelajar sepanjang tempoh Lockdown.

“Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga pelajar di seluruh kampus UMS sama ada di Kota Kinabalu, Sandakan atau di Labuan, usah bimbang, saya memberi jaminan bahawa UMS akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan anak-anak anda di sini,” katanya.

Mengenai aktiviti akademik, Taufiq memaklumkan sesi kelas kuliah berjalan seperti biasa melalui budaya norma baharu.

“Kesemuanya diadakan secara atas talian membabitkan pelajar di dalam kampus dan yang tinggal di luar,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 4,589 pelajar UMS berada di kampus Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan pada ketika ini.

Sebarang saluran sumbangan atau pertanyaan mengenai anak-anak yang menuntut di universiti itu boleh menghubungi talian hotline Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di nombor 088-320060.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *