Tiga ADUN Perlis diarah jalani saringan Covid-19


KANGAR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang kawasan mereka wakili berhampiran dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) telah diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum boleh menghadiri persidangan DUN esok.

Arahan kepada ADUN Sanglang, ADUN Guar Sanji dan ADUN Simpang Empat itu dikeluarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari.

Hamdan berkata kawasan TEMCO itu di dua kampung iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang terletak di DUN Sanglang dan berhampiran dengan dua lagi kawasan DUN.

“Ketiga-tiga ADUN ini telah diminta hadir ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pagi ini untuk menjalani ‘Swab Test’ Covid-19 (Rapid Test Kit-RTK) sebelum dibenarkan hadir ke Sidang DUN esok,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sekiranya keputusan ujian adalah negatif, barulah mereka dibenarkan hadir ke sidang DUN.

“Langkah ini diambil bagi mengelakkan berlaku penyebaran wabak Covid-19 dan sebagai langkah pencegahan untuk semua yang terlibat dalam Sidang DUN esok,” kata Hamdan.

Esok akan berlangsung Perasmian Persidangan Penggal Ketiga dan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga DUN Perlis ke-14 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis. Persidangan akan diadakan hingga Khamis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dijadual berkenan berangkat hadir dan merasmikan sidang tersebut.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif Covid-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu di Kedah. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *