Tiada perubahan dalam SOP Covid-19, kata Noor Hisham –


PETALING JAYA: Tiada perubahan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 namun Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti tujuh indikator dalam negara sebelum membuat keputusan mengetatkan SOP jika terdapat keperluan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM akan memantau terlebih dahulu keadaan dalam negara selain terus meningkatkan kawalan kesihatan awam sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita akan pantau dahulu bukan hanya berdasarkan kemasukan ke hospital tetapi banyak indikator lain yang kita guna pakai seperti jangkaan kes, kes harian dan sebagainya.

“Kalau data itu menunjukkan peningkatan di semua indikator yang ada, jadi mungkin kita akan bincang tindakan yang sewajarnya ketika itu,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu beliau menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media hari ini. Hadir sama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal M Kalairasu.

Jelasnya lagi, indikator yang akan dilihat ialah peningkatan kes import mendadak, iaitu pada ketika ini hanya tiga atau empat kes import direkodkan sebulan dan pengesanan varian baharu daripada pensampelan air kumbah dan tempat berisiko.

“Apa kita bimbangkan kalau ada varian baharu, kita tidak pasti sama ada vaksin kita berkesan atau tidak. Kita juga akan semak dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) sama ada ada pendaftaran varian lain dikesan atau tidak,” katanya.

Katanya, KKM juga akan memantau sejauh mana kebolehjangkitan varian itu serta tahap keparahannya atau kemasukan ke hospital.

Indikator lain yang dirujuk ialah peningkatan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan respiratori akut teruk (SARI) di fasiliti kesihatan terpilih.

“Jika rekod menunjukkan berlaku kenaikan kes yang mendadak, KKM akan mengambil langkah yang lebih tepat untuk mengawalnya”, katanya.

Beliau berkata, indikator lain ialah kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan awam iaitu jika penggunaan katil dan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 melebihi 30%.

Indikator yang turut dipantau ialah peningkatan kes kematian iaitu kini ia melibatkan “satu angka sehari” dan sekiranya berlaku lonjakan tiga angka, KKM akan melihat sejauh mana keparahan virus tersebut.

Semalam, Noor Hisham dalam kenyataan berkata kes baharu Covid-19 di seluruh negara turun 14.2% kepada 3,231 kes pada Minggu Epidemiologi 1 (ME 1/2023) iaitu dari 1 hingga 7 Jan, berbanding 3,767 kes pada ME sebelumnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *