SYARAT I-SINAR TIDAK ADIL: PAKAR EKONOMI


KUALA LUMPUR: Meskipun program i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru-baru ini telah diperluaskan kepada lebih ramai ahli yang terjejas, namun masih banyak rungutan dan keluhan yang kedengaran.

Ada yang memperli i-Sinar sebagai ‘i-Sedih’, ‘i-Malap’ dan pelbagai lagi nama ejekan, berikutan syarat yang dikenakan terlalu ketat, yang mana satu daripadanya apabila kemudahan itu hanya terpakai kepada mereka yang berhadapan dengan pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

Pakar Ekonomi yang juga Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak Datuk Shazali Abu Mansor, menyifatkan kadar minimum pengurangan gaji sebanyak 30 peratus itu tidak munasabah dan tidak adil.

KWSP tidak seharusnya meletakkan syarat peratusan yang terlampau ketat, sebaliknya memudahkan pengeluaran kepada pencarum yang terdesak dan memerlukan wang, untuk kelangsungan kehidupan.

“Jika kurang gaji 30 peratus baru boleh keluar itu tidak adil, mereka yang bergaji kecil dan mengalami pengurangan gaji sebanyak 20 peratus, tidak layak untuk membuat pengeluaran, tetapi mereka yang bergaji besar dan dipotong gaji 30 peratus, pula layak.

“Tidak munasabah cara ini, seharusnya kenalah permudahkan, mereka ini dah jatuh, jatuh lagi ditimpa tangga apabila tidak layak untuk mengeluarkan wang sendiri, kerajaan perlu fikirkan cara yang lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan syarat ketat itu bukan dicapai di Parlimen, maka KWSP tidak perlu meletakkan syarat yang berat, sebaliknya membenarkan pengeluaran kepada pencarum yang mengalami pengurangan gaji, tanpa mengira berapa pun pemotongan yang dihadapi.

“Kalau seseorang itu ada wang dan tidak terjejas, mereka tidak pergi ke KWSP untuk meminta-minta hak mereka, tetapi kalau mereka pergi dan sanggup berbaris lama, itu bermakna mereka betul-betul terdesak dan memerlukan wang,” katanya.

Shazali berkata kerajaan juga seharusnya membenarkan para pencarum mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan modal berniaga, untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang terjejas, dengan syarat mereka membayar semula pengeluaran yang dibuat.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, bagi pencarum yang terkeluar daripada syarat namun benar-benar memerlukan pengeluaran tersebut, seharusnya membuat rayuan kepada KWSP.

“Meskipun syarat itu adalah ketetapan KWSP, namun pekerja boleh ke KWSP dan membuat rayuan, saya berharap KWSP akan mempertimbangkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Namun dalam masa sama, pencarum yang layak membuat permohonan dan menerima wang i-Sinar mesti memahami bahawa ia adalah ‘wang bantuan kesukaran’, maka ia perlu dibelanja mengikut keperluan.

“MTUC khuatir wang i-Sinar yang dikeluarkan dibelanjakan pada yang luar daripada yang diobjektifkan dan selepas wang itu habis, mereka masih menghadapi kesukaran dan masih tidak mencarum semula ke KWSP, ketika itu bantuan apa yang boleh dikeluarkan oleh KWSP dan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, di bawah Akta Kerja 1955, sesuatu syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji pokok pekerja dan sebarang pemotongan gaji perlu dimohon terlebih dahulu kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Rabu lepas, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak membuat pengeluaran, yang mana kategori satu adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori 2, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa, selepas  Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *