Super KIP dibenar berlepas ke Sepanyol


KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dibenarkan berlepas ke Sepanyol untuk beraksi pada Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) selepas perjalanannya sebelum ini “tersekat” susulan peraturan baru Kesatuan Eropah (EU).

Khairul Idham yang terkenal dengan jolokan “Super KIP”, berlepas awal pagi tadi selepas diberi pengecualian dan kebenaran memasuki Sepanyol menjelang perlumbaan GP Sepanyol di Litar Jerez pada 17 hingga 19 Julai ini.

“Saya sangat gembira dan bersyukur sebab sudah dua kali datang ke lapangan terbang, tetapi hari ini baru saya boleh terbang. Terima kasih kepada pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Imigresen, MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan pihak terlibat dalam memudahkan perjalanan keluar dan masuk,” kata pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu dijadual berlepas ke Sepanyol pada Jumaat lepas, namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan susulan peraturan baharu EU yang hanya membenarkan warga dari 15 negara memasuki kesatuan itu, dengan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Selain Khairul Idham, wakil Malaysia yang dijadual menyertai saingan GP Sepanyol adalah Hafizh Syahrin Abdullah dari Aspar Team dan Kasma Daniel Kasmayudin, mewakili ONEXOX TKKR SAG Team, masing-masing dalam kelas Moto2.

“Saya cuba lakukan terbaik untuk negara dan kepada semua rakyat Malaysia jangan lupa sokong saya dan pelumba negara yang lain,” kata Khairul Idham yang kembali bersaing dalam kelas Moto3 musim ini selepas tiga musim beraksi dalam kelas Moto2.

Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan sejak Mac, selepas perlumbaan pembukaan di Qatar akibat penularan pandemik Covid-19. – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *