SIB TERIMA RM3.5 JUTA DARI KERAJAAN NEGERI


RANAU: Kerajaan negeri telah meluluskan bantuan peruntukan kewangan sebanyak RM3.5 juta untuk projek pembangunan blok pentadbiran tambahan yang akan menampung keperluan pendidikan untuk penganut bukan Islam di negeri Sabah.

Penyerahan cek tersebut  telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau,  kepada Rev. Datuk Ir. Jerry Dusing, Presiden Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, di Borneo Theological Seminari, Namaus, di sini, hari ini.

Menurut Madius, permohonan bagi pembinaan blok tambahan terbabit sudah diterima sejak 4 Jun tahun ini dan telah diluluskan oleh kabinet negeri pada 7 Julai yang lalu.

Presiden Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, Rev. Datuk Ir. Jerry Dusing menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dalam usaha membantu pembangunan pendidikan dan memperkasakan modal insan bagi penganut bukan Islam di negeri Sabah.

“Ini jelas menunjukkan keprihatinan dan keterbukaan kerajaan negeri membantu memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat termasuk badan-badan keagamaan bukan Islam di negeri ini,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Madius semasa sesi soal jawab turut menerima baik cadangan agar kerajaan negeri menyediakan bantuan biasiswa kepada pelajar bukan Islam yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang teaologi.

“Ini merupakan perkara baharu dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Kita tidak mempunyai contoh pelajar yang menerima biasiswa daripada kerajaan negeri dalam bidang Teologi.

“Satu cadangan yang sangat baik dan saya sendiri akan memberikan cadangan secara bertulis kepada Ketua Menteri berhubung perkara ini,” katanya.

Kolej Teologi Sabah yang terletak di Namaus, Ranau itu ditubuhkan pada tahun 1965 untuk melatih penuntut pelajar bidang Teologi.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *