Sembilan wanita antara yang kena tahan sebab judi main sabung ayam di Tawau


Gelanggang sabung ayam yang menjadi tumpuan kaki judi diserbu sepasukan polis di dua lokasi berasingan di kawasan Ladang Kelapa Sawit persendirian, dekat Tawau.

Kedua-dua serbuan itu berjaya menahan seramai 31 orang termasuk sembilan wanita yang sedang leka berjudi dan menyaksikan perlawanan sabung ayam di gelanggang tersebut. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah kawasan ladang persendirian di Bergosong Sebatik kira-kira jam 4 petang. 

Menurutnya, pihaknya bertindak menyerbu kawasan yang dipercayai menjadi sarang perjudian sabung ayam selepas menerima aduan berhubung aktiviti itu.

“Semasa serbuan, pasukan polis berjaya menahan 15 lelaki dan dua perempuan disyaki terlibat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam.

“Hasil siasatan kesemua tangkapan yang berumur 21 hingga 84 tahun itu merupakan warga asing dan tinggal di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam kenyataan media, di sini.

Katanya, pihaknya berjaya merampas 19 ekor ayam sabung hidup, tiga buah beg pisau dan 39 bilah pisau taji ayam serta satu helai kain rentang judi.

“Selain itu, turut dirampas tiga biji dadu judi, wang asing pelbagai not berjumlah lebih 25 Juta Rupiah dan wang tunai sebanyak RM250,”katanya.

Dalam serbuan kedua pula, seramai 14 orang telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam di KM60 Tawau-Kunak kira-kira jam 4.30 petang.

Peter berkata, kesemua tangkapan yang masing-masing terdiri tujuh lelaki dan wanita itu berumur 18 tahun hingga 65 tahun.

“Hasil siasatan, seorang daripada mereka merupakan warga tempatan, 13 yang lain warga asing dan enam di antaranya didapati pendatang tanpa izin (PTI) tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Polis berjaya merampas empat ekor ayam sabung hidup, satu beg pisau dan lapan bilah pisau taji ayam yang disyaki digunakan untuk perjudian perlawanan ayam tersebut,”katanya

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 6(1) Akta Bahan_bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya. – Utusan Borneo





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *