SELEPAS BATAL MASUK PKR, SALLEH MAHU KEMBALI KE PANGKUAN UMNO


KOTA KINABALU: Selepas menarik balik permohonan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kini ingin kembali pula ke pangkuan UMNO.

Menurut laporan Bernama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar mengesahkan telah menerima surat permohonan daripada bekas Bendahari UMNO itu.

Bung berkata, surat permohonan Salleh itu diterima UMNO Sabah satu atau dua minggu lalu.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dalam catatan terbaharu di blog beliau, hari ini, mengesahkan membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

“Sejak kebelakangan ini ramai bertanya kepada saya mengenai pendirian politik saya di sebalik apa yang berlaku dalam lanskap politik negara termasuk di Sabah.

“Pada Mac 2020, saya telah meminta permohonan saya ditangguhkan dahulu agar saya dapat bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju kami di Sabah.

“Kemudian pada April 2020, saya telah meminta agar permohonan saya menyertai PKR dibatalkan. Dengan pembatalan permohonan itu, saya kekal tidak berparti sejak saya keluar dari Umno pada Disember 2018,” kata Salleh dalam catatannya itu.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas UMNO kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pada PRU14 juga, beliau yang bertanding di Parlimen Kota Belud tewas kepada Munirah Majilis dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan majoriti 4,262.

Ketika itu, Munirah memperolehi undi sebanyak 23,429 manakala Salleh mendapat undi sebanyak 19,167.

Dua lagi calon ketika itu, Miasin @ Aimaduddin Mion dari Parti Harapan Rakyat Sabah serta Ag Laiman Ikin daripada PAS hilang wang deposit selepas masing-masing hanya memperolehi undi sebanyak 2,092 dan 1,410.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *