Sambut baik pengumuman KPT, UMS sedia terima pelajar lengkap vaksin mulai 15 Oktober ini


Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, untuk membenarkan pelajar yang lengkap vaksin kembali ke kampus bermula 15 Oktober ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS sudah bersiap sedia dengan pelan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikuti ketetapan pihak berkuasa agar sesi pembelajaran dan pengajaran dibuat secara selamat.

“Buat permulaan, pihak UMS akan memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang bekeperluan khas.

“Antaranya, mereka yang tinggal di pedalaman dan mempunyai isu capaian berupa masalah talian internet, isu keterbatasan peranti dan isu ketidakmampuan pelajar membeli kapasiti data yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Taufiq, pelajar yang dibenarkan untuk memasuki kampus akan diberikan surat pengesahan keperluan kembali ke UMS.

“Surat ini adalah untuk kegunaan pelajar, sebagai dokumen pembuktian memohon kebenaran rentas daerah atau negeri daripada pihak berkuasa.

“Apabila berada di dalam kampus, pelajar akan sentiasa diingatkan untuk merujuk dan mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan sama ada di kolej kediaman, di kawasan fakulti serta kawasan-kawasan lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Taufiq turut memaklumkan bahawa lebih 81 peratus pelajar UMS telah pun lengkap menerima vaksin sehingga hari ini.

“Kita juga telah menghubungi pelajar yang masih belum divaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

“Bagi mereka yang berada di sekitar Kota Kinabalu, boleh datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) UMS.

“Bagi yang berada di Semenanjung dan Sarawak, kita bekerjasama dengan semua PPV IPT dan mereka boleh mendapatkan vaksin di sana ataupun PPV di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua kakitangan pentadbiran dan akademik termasuk pekerja luar seperti pihak pembekal dan mereka yang kerap berurusan di dalam universiti juga telah menerima vaksin bagi mengelakkan berlakunya penularan kes Covid-19 di dalam kampus,” tambahnya.

Untuk rekod, UMS kini mempunyai 14,472 pelajar prasiswazah dan 3,209 pelajar pascasiswazah.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *