SAFA YAKIN EMPAT PEMAIN BELIANYA MANFAATKAN PELUANG


KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yakin empat pemain pasukan Piala Belia mereka yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang diberikan.

Empat pemain itu ialah Azlizan Azlan,19 (penjaga gol / Keningau), Mohd Nasip Mohammad Zain, 19 (penyerang / Semporna) dan dua pemain tengah iaitu Yuseril Yusekil, 18 (Tenom) serta Mohammad Nazemizan Naslon, 19. (Kota Belud)

Setiausaha Agung SAFA, Andrew Majanggim, berkata, empat bakat muda Sabah itu perlu terus bekerja keras untuk merebut tempat dalam senarai akhir.

“Kami harap mereka akan berlatih bersungguh-sungguh dan memperlihatkan kewibawaan sebagai “thinking player” serta menunjukkan disiplin yang tinggi sama ada di dalam atau di luar padang untuk bersaing mendapat tempat didalam pasukan Malaysia nanti….

“Bagi pihak SAFA, kami sangat gembira dengan perkembangan ini (empat pemain dipanggil skuad kebangsaan) dan berharap ia menjadi pencetus semangat kepada pemain-pemain lain khususnya pemain muda negeri ini,” katanya.

Empat pemain itu antara 35 yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya selama tiga minggu bermula 6 hingga 26 Julai 2020.

Latihan pusat itu adalah sebagai persediaan awal menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober depan.

Andrew berkata, perkembangan itu menjadi satu permulaan baik buat skuad B-19 Sabah dan ianya juga hasil kerjasama serta usaha keras semua pihak.

“Segala usaha yang dilakukan barisan jurulatih skuad Piala Belia Sabah yang diketuai Johnny Dominicus selain bimbingan pengurus pasukan, Datuk Rahman Zakaria harus diberi pujian.

“Tidak dilupakan juga Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony yang sentiasa berusaha untuk membangunkan sukan bola sepak di negeri ini, agenda pembangunan bola sepak ini merupakan salah satu agenda utama wajib dipermantapkan.” katanya lagi.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *