RM20 JUTA BANTUAN SABAH NEW DEAL UNTUK USAHAWAN MIKRO


KOTA KINABALU: Sebanyak RM20 juta diperuntukkan Kerajaan Sabah bagi membantu usahawan mikro dan cottage luar bandar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di bawah pakej rangsangan Fasa Kedua dalam “Sabah New Deal”.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, bantuan itu dikendalikan di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan (DIDR) dan permohonannya boleh dibuat secara atas tallan.

“Sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Bantuan Geran Sabah New Deal yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap MTI akan bertanggungjawab meluluskan permohonan daripada usahawan yang diterima.

“Jawatankuasa ini juga akan mengenalpasti usahawan mikro dan cottage yang berskala kecil di luar bandar yang layak memohon bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bantuan Usahawan Mikro dan Cottage di bawah Sabah New Deal RM20 juta, kelmarin.

Madius berkata, bantuan geran ini akan disalurkan kepada usahawan mikro dan cottage di luar bandar yang mempunyai pendapatan tahunan tidak lebih RM50,000.

Menurutnya, penyediaan geran ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan usahawan mikro yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, dalam sidang media Madius memaklumkan jumlah pelaburan di Sabah sejak Mei 2018 sehingga kini menampakkan perkembangan sangat positif daripada ratusan juta kepada bilion ringgit.

“Jumlah pelaburan sejak mengambil alih kerajaan Sabah pada Mei 2018 berjumlah kira-kira RM200 juta. Pada tahun 2019 jumlah itu bertambah sekitar RM6 bilion dan suku pertama tahun ini sebanyak RM11.7 bilion.

“Buat pertama kalinya Sabah berjaya memperolehi pelaburan sebesar itu. Ia merupakan pelaburan dari syarikat-syarikat petroleum yang mana pelaburan terbesar dari Petronas,” jelasnya sambil memaklumkan Sabah tidak lagi perlu menyalurkan gas ke Sarawak untuk memproses gas asli cecair (LNG), sebaliknya satu kilang atas kapal laut telah diwujudkan untuk memproses bahan berkenaan.

Ujarnya, kapal berkenaan dibina khas dari Busan Korea dan sampai di Sabah pada Februari lalu dan kini telah beroperasi seterusnya membolehkan Sabah sendiri mampu menghasilkan LNG.

“Kapal pemprosesan itu kini boleh mendapat terus bahan mentah dari dasar laut, memproses diatas kapal seterusnya menghasilkan LNG sekali gus membolehkan para pembeli membawa kapal masing-masing untuk singgah membeli sendiri LNG,” tambah Madius.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *