RM10 yang ini boleh pergi jauh


Sepuluh ringgit adalah anggaran apa yang seseorang penjawat awam berbelanja semasa makan dan minum di kantin pejabat.

Di zaman saya sebagai pemberita kadet di Bernama hampir 50 tahun dahulu, saya dibayar gaji kurang daripada RM10 sehari, tetapi ianya lebih bernilai berbanding sekarang.

Sememangnya lah gaji pekerja telah meningkat sejak itu tetapi era Norma Baharu yang sama-sama kita masuki ekoran tercetusnya pandemik Covid-19 tahun lepas, telah memberi kesan buruk terhadap kehidupan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan mereka dalam golongan B40, Puluhan ribu dilaporkan kehilangan pekerjaan yang pada hakikinya pun berada di tahap kais pagi makan pagi khususnya mereka yang tinggal di bandar.

Pandemik ini telah menggambarkan dengan kemudahan media sosial secara jelas pelbagai kes kemiskinan bandar tatkala penduduk bergelut untuk mencari sesuap nasi.

Terdapat tiga video yang menyayat hati baru-baru ini, terutama yang menunjukkan kanak-kanak gelandangan yang berebut untuk mendapatkan kotak untuk dijadikan tempat duduk atau tidur di kaki lima bersama ibubapa mereka yang tiada mata pencarian.

Sebuah lagi video adalah mengenai seorang budak perempuan dalam lingkungan usia hanya 12 tahun yang mencari sisa-sisa makanan di satu tempat pembuangan sampah.

Sehubungan itu, orang ramai dikejutkan oleh kisah bagaimana Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Ezanee Mohd Faisal, membantu seorang surirumah yang ditangkap kerana mencuri makanan dan ubat-ubat untuk anak-anaknya yang kelaparan.

Seperti yang dinyatakan oleh Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, ACP Ezanee menterjemahkah “jenayah” yang dilakukan oleh wanita berkenaan lebih daripada sudut belas kasihan Islam dan bukan undang-undang jenayah semata-mata. Tabik kepada ACP Ezanee.

Kejadian-kejadian ini berlaku dalam negara kita sendiri.

Saya mohon maaf kerana para pembaca ruangan ini masih ternanti-nanti apa sebenarnya saya maksudkan dengan tajuk ruangan “ RM10 yang boleh pergi jauh” di samping membabitkan penjawat awam sekali.

Di sini saya berfikir di luar kotak dengan mencadangkan yang jika dilaksanakan, akan memberi impak yang berkesan dalam membantu bukan sahaja kes-kes kemiskinan seperti yang disebut di atas, malah meringankan beban yang dihadapi oleh ribuan rakyat bukan sahaja untuk makanan seharian malah bumbung di atas kepala mereka atau perumahan.

Negara mempunyai seramai 1.6 juta kakitangan awam yang langsung tidak terkesan oleh pandemik ini kerana mereka terus menerima gaji setiap bulan berbanding pekerja di sektor swasta yang mengalami pelbagai keperitan hidup.

Saya menyarankan agar Kerajaan menubuh Tabung Khas dengan potongan gaji RM10 sebulan oleh penjawat awam.

Dalam tempoh hanya tiga bulan sahaja, tabung ini akan mencecah jumlah RM48 juta!

Jumlah yang begini besar berupaya membantu rakyat Malaysia yang kehidupan seharian mereka punah oleh pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan virus Covid-19 sejak setahun lepas.

Harus dinyatakan di sini bahawa Kerajaan telah menginisiatifkan pelbagai program bantuan orang ramai tetapi langkah yang saya namakan Tabung RM10 ini adalah khusus membabitkan penjawat awam sahaja.

Semua penjawat awam tidak harus merasa sangsi untuk menyumbang sebagai satu program tanggungjawab sosial mereka yang jarang sekali dilancarkan di kalangan mereka.

Bayangkan jika sumbangan bulanan RM10 ini dipanjangkan sehingga enam bulan, hampir RM100 juta atau lebih tepat lagi RM96 juta dapat dikutip.

Dan semestinya lah penjawat awam yang berpendapatan lebih tinggi akan sanggup menyumbang jumlah melebihi RM10.

Lebih besar jumlah sumbangan, lebih baik.

Saya serahkan kepada pihak Kerajaan untuk merangka modul yang sewajarnya bagi mengurus isu-isu berkaitan pengagihan tabung ini.

Ia bukanlah sesuatu yang memerlu pihak berkenaan memeras otak kerana ini adalah projek yang sangat mudah dilaksanakan.

Wang yang bakal dikutip melalui tabung ini jika dilaksanakan bukan sahaja akan menyedia makanan harian tetapi yang tidak kurang kritikal membantu mereka yang begitu ramai tidur di kaki lima atau jejantas, misalnya.

Sehubungan ini juga, saya bagi pihak rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan untuk menyuarakan secara terbuka, setinggi-tinggi penghargaan kepada pendakwah serta dermawan luar biasa, Ustaz Ebit Lew, satu-satunya rakyat Malaysia yang secara peribadi telah dan sedang membawa cahaya kehidupan yang lebih cerah kepada ribuan mereka yang daif di seluruh negara.

Negara amat memerlukan lebih ramai Ebit Lew dalam kita berdepan dengan cabaran hidup yang getir selagi pandemik Covid-19 berterusan di sekeliling kita.

Ketua Setiausaha Negara sekarang, Tan Sri Mohammad Zuki Ali, merupakan KSN yang ke-15 sebagai Penjawat Awam No. 1 negara.

Sekiranya beliau berjaya melaksanakan Tabung RM10 ini, saya tanpa ragu-ragu percaya Mohammad Zuki akan dikenang jasanya sampai bila-bila.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *