Polis tahan remaja promosi pornografi kanak-kanak


KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mempromosi pornografi kanak-kanak melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan di Semenyih, dekat sini pada 6 petang Rabu lepas oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman.

“Dalam serbuan berkenaan pihak polis telah merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mengandungi gambar dan video bagi tujuan mempromosi kegiatan tidak bermoral itu kepada orang ramai,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaid berkata suspek kini direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sebelum ini tular satu tangkap layar kegiatan mempromosi video dan gambar lucah kanak-kanak melalui media sosial. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *