Pesara maut ditetak dalam kejadian samun


KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di kediamannya di Bukit Bandaraya, Bangsar, di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata mangsa, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur rumah banglo dua tingkat itu.

Mangsa yang ditetak pada bahagian muka dan leher dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, seorang pesara kerajaan berusia 70 tahun, cedera di tangan kanan akibat ditetak, katanya ketika dihubungi Bernama.

Nik Ros Azhan berkata dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, hanya pasangan suami isteri berkenaan sahaja berada di kediaman tersebut yang ketika itu terputus bekalan elektrik.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada anak mangsa yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada ibunya.

“Usaha menjejaki suspek masih diteruskan antaranya dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman di sekitar rumah mangsa kerana rumah mangsa tidak mempunyai CCTV,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata antara barang berharga yang dilarikan suspek ialah dompet serta komputer riba dengan polis masih menyiasat nilai sebenar kerugian.

Jenazah mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan isteri Allahyarham turut mendapat rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *