Perhilitan Perak tangkap gajah rosakkan tanaman di Gerik


IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap seekor gajah jantan liar di Ladang Sawit Felda Bersia Timur, Gerik, Isnin lepas.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata tangkapan itu dilakukan susulan aduan daripada penduduk kampung sekitar berhubung kerosakan tanaman termasuk pisang, kelapa dan kelapa sawit.

Beliau berkata Unit Tindakan Gajah Perak menjejaki gajah yang diberi nama Yob Daha itu sejak 7 pagi dan berjaya menangkap haiwan berkenaan pada kira-kira 10 pagi.

“Gajah jantan itu dianggarkan berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan berat dua tan. Aduan gangguan mamalia darat terbesar ini mula diterima oleh Pejabat Perhilitan Daerah Gerik pada 13 Julai lepas sebelum kami mula menjejaki gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yusoff berkata operasi pemindahan gajah berkenaan ke Taman Negara akan bermula pada 8 pagi esok membabitkan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan lapan kakitangan Perhilitan Perak.

“Dua ekor denak iaitu Rambai dan Abot akan digunakan bagi ‘memujuk dan menenangkan’ Yob Daha untuk bergerak menaiki lori seterusnya ke destinasi berikutnya dan diharap Yob Daha dapat memulakan kehidupan baharu di sana dengan lebih selesa,” katanya. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *