Penuntut UMS dibenar pulang ke kampung Mulai 5 Mei


KOTA KINABALU: Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dibenar pulang ke kampung halaman masing-masing bermula 5 Mei ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Prof Madya Dr Raman Noordin berkata penuntut yang terlibat akan dimaklumkan secara berperingkat mengenai jadual pergerakan pulang itu.

“Penyelarasan pergerakan pelajar itu berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, malam semalam.

Raman yang juga Ketua Pergerakan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Zon Sabah berkata UMS sentiasa memberi maklumat terkini (pergerakan pulang) menerusi media sosial Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp.

Sebarang pertanyaan mengenai pergerakan pulang itu, boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar di talian 088-320060. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *