Penjawat awam perlu jadi contoh patuhi arahan pemakaian pelitup muka


KOTA KINABALU: Penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat khususnya di Sabah dalam mematuhi pemakaian pelitup muka seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor berkata ia merupakan antara tanggungjawab bukan hanya sebagai rakyat tetapi juga sebagai penjawat awam.

“……dan bukan antara orang yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ibadah korban di Kompleks Kediaman Persekutuan, Indah Permai di sini hari ini.

Samsuni berkata setakat ini semua pejabat agensi Persekutuan di negeri ini mematuhi SOP dengan memeriksa suhu badan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam setiap majlis mahupun mesyuarat.

Bermula semalam, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka terutamanya di tempat awam yang sesak bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Samsuni berkata pagar kawasan perumahan Persekutuan di Indah Permai yang rosak dan uzur akan digantikan bagi mengelak pencerobohan berulang di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan bagi membina dan membaiki pagar kawasan perumahan yang terletak di atas bukit itu.

Sementara itu, Samsuni berkata sebuah unit kediaman rumah Persekutuan itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah untuk dijadikan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Katanya, kelas KAFA yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah kanak-kanak yang belajar di situ khususnya penghuni rumah Persekutuan yang didiami kira-kira 290 keluarga. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *