PENERIMA VAKSIN COVID-19 PERLU TERUS PATUH SOP


Individu yang bakal menerima Vaksin COVID-19 kelak masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun selepas menerima dua dos suntikan tersebut.

Pakar Perunding Perubatan
Keluarga dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia
Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud berkata, ini penting untuk
menjamin keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Vaksin yang disuntik adalah
bagi mengaktifkan sistem imuniti dalam badan untuk melawan atau mencegah
penyakit, sekali gus mampu membendung penularan penyakit.

“Walaupun data ujian klinikal
menyatakan hampir 95% keberkesanan vaksin tersebut terhadap virus COVID-19,
namun adalah lebih baik sekiranya SOP terus dipatuhi kerana virus COVID-19
sesuatu yang baru dan kompleks, dan masih memerlukan kajian serta pengumpulan
data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika
membincangkan topik “Vaksin COVID-19” dalam Siri Pendidikan dan Kesihatan
COVID-19 yang disiarkan secara dalam talian langsung melalui laman Facebook
rasmi UMS.Official dan saluran YouTube UMS.Net baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, kata Nazri
masyarakat terutama golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19
amat digalakkan untuk mengambil vaksin COVID-19 apabila vaksin tersebut boleh
didapati di Malaysia kelak.

Nazri

“Walaupun penghasilan vaksin
dalam tempoh singkat, vaksin yang diperoleh dari syarikat seperti Pfizer dan
BioNTech telah menjalani ujian pra-klinikal dan tiga fasa klinikal dan hasil
pengumpulan data menunjukkan keberkesanan yang tinggi terhadap vaksin tersebut.

“Vaksin ini perlu kerana
sekiranya tiada vaksin masyarakat akan hidup dalam situasi pandemik dalam
tempoh masa yang panjang,” katanya.

Ujar Nazri, empat kategori
golongan yang perlu diutamakan bagi pengambilan vaksin, iaitu petugas barisan
hadapan, warga emas, individu yang mempunyai sejarah penyakit-penyakit tertentu
seperti penyakit kronik, kencing manis dan sebagainya, dan mereka yang
memerlukan lebih perlindungan seperti ibu mengandung atau ibu yang menyusukan
anak.

Siri Pendidikan dan Kesihatan
COVID-19 UMS yang dikendalikan Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr.
Fatimah Ahmedy merupakan inisiatif Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19
dengan kerjasama Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat sebagai
platform perkongsian informasi oleh pakar-pakar perubatan UMS kepada
masyarakat.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *