Pendidikan adalah kunci kepada perubahan


Oleh: Nur Asdah Jeferedin (Pelajar Komunikasi FSSK)

KOTA KINABALU:  Pendidikan adalah kunci kepada perubahan. Demikian menurut graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) daripada keluarga B40, Crislley Jhonny.

Katanya, beliau yakin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi mampu mengubah nasib keluarga dengan mempraktikkan ilmu yang dipelajari sama ada dalam bidang pekerjaan atau pun keusahawanan.

“Untuk itu, saya menyeru kepada generasi muda untuk sentiasa mengutamakan pendidikan kerana ia merupakan faktor penting dalam menentukan hala tuju masa depan kita.

“Sebagai contoh, di UMS sendiri banyak pengalaman yang telah saya peroleh selain ilmu yang diajar oleh para pensyarah. Di samping kelulusan pendidikan ijazah sarjana muda, pengalaman sebegini penting bagi membantu kita merancang dan menaik taraf kehidupan keluarga agar keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24.

Anak ke-5 dari enam beradik itu meraih ijazah kelas dua dalam program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Keusahawanan) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

“Ibu bapa saya hanya bekerja sebagai peladang yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keperluan sekeluarga.

“Semasa pandemik Covid-19 yang mana sesi kuliah semuanya diadakan secara maya, kadang kala saya terpaksa pergi ke pekan untuk mendapatkan jaringan internet yang lebih baik bagi mengikuti kelas atas talian,” katanya.

Malah pemuda berasal dari daerah Ranau itu memaklumkan bahawa ayahnya juga sanggup menghantar ke pekan menduduki peperiksaan ketika bekalan elektrik di kampung terputus.

“Syukur saya berjaya menamatkan pengajian ini dengan jayanya. Terima kasih kepada para pensyarah, rakan-rakan dan ahli keluarga yang setiasa memberikan sokongan penuh sepanjang pengajian.

“Saya akan bertekad membalas jasa kedua orang tua dengan menggunakan kelulusan dan pendidikan sepanjang di UMS untuk meningkatkan taraf hidup keluarga,” tambahnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *