PENANTIAN 20 TAHUN BERAKHIR, PENDUDUK AKHIRNYA DAPAT GERAN TANAH


KINABATANGAN: Penantian penduduk sejak lebih 20 tahun lalu untuk memiliki geran tanah sendiri berakhir apabila 240 geran tanah diserahkan kepada penduduk membabitkan 36 kampung, di sini.

Ia membabitkan tanah seluas 478.5 hektar dengan geran disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Majlis Penyerahan 240 Geran Tanah Daerah Kinabatangan, di sini, hari ini.

Turut diserahkan adalah geran tanah sembilan kampung yang diwartakan daripada rizan hutan.

Kampung itu antara lain adalah Kampung Sukau; Perpaduan; Sentosa Jaya; Batu Putih; Sinar Jaya; Buang Sayang, Bilit dan Sri Manis.

Ketika berucap, Mohd Shafie berkata, penduduk menunggu terlalu lama antara 20 hingga 30 tahun untuk diberikan geran kerana kawasan terbabit dirizab oleh kerajaan negeri terdahulu.

Katanya, sembilan kampung yang sebelum ini menjadi rizab hutan dikeluarkan dan diiktiraf sebagai perkampungan untuk penempatan penduduk.

“Rakyat tidak perlu terlalu risau kerana kita akan berusaha memastikan mana-mana tanah yang menjadi hak rakyat akan diserahkan kepada mereka,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Bernard Liew dan Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip.

Sementara itu, Suhaimi berkata, dasar pentadbiran kerajaan negeri memudahkan urusan pemberian geran tanah kepada rakyat.

Katanya, pemberian geran itu juga membuktikan ketelusan kerajaan menangani isu dihadapi rakyat yang sebahagian besar masih merempat di tanah sendiri.

“Mereka menduduki kawasan ini sejak puluhan tahun, namun untuk mendapatkan status sebenarnya mereka masih lagi menunggu begitu lama kerana terdapat birokrasi tertentu,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *