Pemimpin setempat perlu main peranan percepat vaksinasi penduduk luar bandar Sabah


KOTA KINABALU: Pemimpin setempat terutama ketua kampung dan ahli jawatankuasa kampung perlu memberikan kesedaran dan mendaftarkan penduduk di kawasan luar bandar negeri ini untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Aktivis Sosial dan Hak Asasi Manusia Sabah Datuk Patrick Sindu (pix) berkata ini penting kerana ketiadaan akses internet di kawasan luar bandar untuk penduduk mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera, justeru usaha pendaftaran perlu dilakukan secara manual.

Beliau berkata selain itu ahli jawatankuasa surau, gereja, badan keagamaan mahupun klinik swasta juga digalakkan untuk memberi maklumat tepat tentang pentingnya memperoleh suntikan vaksin.

“Usaha memperluaskan pemberian vaksin khususnya penduduk di kawasan luar bandar di Sabah perlu diperhalusi lagi bagi membolehkan imuniti kelompok (70 peratus divaksin) dicapai, kita sudah menerima (bekalan) vaksin tetapi pemberian vaksin belum berjalan lancar,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kemudahan sedia ada di klinik desa di negeri ini perlu digunakan sepenuhnya sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepat pemberian vaksin Covid-19 di luar bandar.

Patrick berkata dengan menggunakan pelbagai kemudahan sedia ada di kawasan luar bandar, lebih banyak PPV dapat dibuka di seluruh negeri yang memudahkan penduduk mendapatkan akses.

“Kita harap mereka (penduduk) terutamanya warga emas tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan oleh golongan antivaksin ini melalui WhatsApp atau cakap-cakap orang sekeliling kerana itu juga antara faktor orang takut untuk menerima vaksin,“ katanya. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *