Pemimpin PKR panggil Dr M ‘unta tua’


Selepas menghadiahkan Kamus Dewan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad hari ini menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai “unta tua” yang menipu Pakatan Harapan.

Tampil di pentas maya Kongres Nasional PKR hari ini, perwakilan Perak itu turut mengingatkan pimpinan parti supaya tidak mengulangi kesilapan sebelum ini dengan menerima “unta tua” dalam khemah PH untuk kali kedua.

“Ya, dia (Mahathir) yang saya maksudnya.  Siapa lagi ‘unta tua’ kalau bukan dia,” katanya kepada FMT.

Dalam ucapannya kepada perwakilan kongres, Arafat berkata tindak tanduk “unta tua” berkenaan menyebabkan kerajaan PH yang dibina atas mandat rakyat kehilangan kuasa di Putrajaya pada Mac lalu, walaupun memenangi PRU14.

“Ambillah pengajaran pada PRU14 bahawa ketika itu datangnya ‘unta tua’ dalam khemah PH, minta kebenaran masuk dengan muka kesian.

“PH pun rasa kesian dan beri kebenaran untuk ‘unta tua’ ini masuk dalam khemah sehingga PH keluar dari khemah sendiri iaitu Putrajaya. Ambil pengajaran ini supaya jangan tertipu dengan ‘unta tua’ ini untuk kali kedua,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Kongres Nasional Tahunan PKR secara maya hari ini.

Semalam, Arafat menjadi tumpuan media selepas berkongsi video reaksi uniknya terhadap kenyataan Takiyuddin berhubung titah pandangan Agong mengenai persidangan Parlimen harus diadakan secepat mungkin.

Beliau mengirim sebuah kamus sebagai hadiah kepada Takiyuddin bagi membolehkan menteri itu “memahami dengan lebih jelas maksud secepat mungkin seperti dititahkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Arafat berbuat demikian selepas Takiyuddin dilaporkan berkata, Agong tidak menetapkan secara khusus bila sidang Parlimen harus diadakan.

Dalam perbahasan di kongres PKR hari ini, Arafat menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional sebagai  tidak cekap dan lemah dalam menguruskan pemberian vaksin khususnya kepada warga emas.

Oleh itu, beliau menggesa waris mangsa yang kematian akibat Covid-19, menuntut ganti rugi kepada kerajaan.

“Jika kerajaan cepatkan vaksin kepada golongan warga emas, sudah tentu angka yang dirawat dalam ICU ketika ini tidak tinggi.

“Saya lihat ini adalah kesilapan nyata kerajaan dan waris mangsa Covid-19 perlu segera menuntut ganti rugi kerana tindakan lemah kerajaan ini,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *