PELUANG TERBAIK KEMBALIKAN AUTONOMI SABAH, SARAWAK


KOTA KINABALU: Kesemua sayap pemuda parti-parti kerajaan Sabah iaitu Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan), Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY), Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pemuda AMANAH Sabah sebulat suara menyokong cadangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu sidang media bersama, hari ini, mereka berpendapat cadangan berkenaan satu peluang terbaik untuk mengembalikan autonomi Sabah dan Sarawak.

Ketua DAPSY Phoong Jin Zhe yang mewakili semua kepimpinan Pemuda berkata, Mohd Shafie adalah tokoh pemimpin negara yang lebih muda berbanding calon-calon Perdana Menteri lain.

“Kami penuh yakin bahawa Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah calon terbaik untuk menyelesaikan masalah perkauman dan agama yang telah lama wujud di negara ini.

“Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri Borneo dapat memastikan bahawa Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali hak sebagai rakan kongsi setara,” katanya.

Jin Zhe berkata, mereka juga menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama belia dan pemimpin negara untuk menyokong cadangan menjadikan Shafie sebagai calon Perdana Menteri Malaysia Timur yang pertama bagi membina Malaysia baharu yang sederhana, majmuk dan harmoni.

Katanya, pembangunan sama-rata yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih tidak dapat dilihat sehingga hari ini selepas 57 tahun penubuhan Malaysia.

“Tiada siapa pun dapat bayangkan sejauh mana, kita telah dijauhkan dari negara yang makmur dalam pembahagian kekayaan dan pembangunan yang tidak sama-rata antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

“Ini bukan salah rakan kongsi kita. Ini kerana ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengenepikan Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah Mohd Ismail Ayob, Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang dan Ketua Pemuda AMANAH Sabah Mohd Khairuddin Daud.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *