Pasang Jalur Gemilang terbalik; Pemilik, pekerja kilang direman


KULAI: Seorang pemilik kilang dan seorang pekerja warga Indonesia direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kilang plastik dan acuan di Kawasan Perindustrian Senai, di sini, semalam.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin mengeluarkan perintah reman tersebut di Mahkamah Majistret Kulai hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow kedua-dua suspek yang berusia 56 dan 23 tahun itu ditahan dalam serbuan di kilang tersebut pada 2.50 petang semalam susulan aduan orang awam yang turut menularkan gambar insiden berkenaan di media sosial.

“Ketika pemeriksaan dibuat, pemilik kilang mengaku mengarahkan pekerjanya seorang warga Indonesia berumur 23 tahun yang baharu tiga bulan bekerja untuk menukarkan Jalur Gemilang yang telah lusuh.

“Bagaimanapun dia (pemilik kilang) tidak membuat pemantauan semula hingga mengakibatkan bendera tersebut dipasang terbalik sebelum ia ditularkan di media sosial,“ katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *