Operasi SAR jejak kapal kargo antara negara ditamatkan, kata APMM –


KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Jan, ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som, berkata operasi itu dihentikan selepas semua usaha dilaksanakan tidak menemui sebarang petunjuk.

“Meskipun koordinasi antara negara yang dibuat Basarnas ditamatkan, pemantauan oleh aset Maritim Malaysia yang beroperasi di lapangan, terutama di perairan Malaysia berdasarkan posisi terakhir akan tetap diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Basarnas juga akan mengaktifkan kembali pencarian sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan MV Dai Cat 06 yang hilang di perairan Indonesia.

Dalam operasi itu, Basarnas telah menggerakkan empat aset terdiri daripada sebuah kapal, dua bot dan sebuah pesawat, melibatkan kawasan pencarian seluas kira-kira 800 batu nautika persegi di perairan Natuna, Indonesia, katanya.

Zubil berkata, aset Maritim Malaysia dari Maritim Sarawak juga membuat pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu hingga ke perairan Kuching, namun tiada sebarang petunjuk.

“Maritim Malaysia buat masa ini masih meneruskan siasatan berhubung kehilangan kapal MV Dai Cat 06 dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 9 Jan, kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru itu dipercayai hilang di perairan Indonesia, manakala laporan berhubung kejadian dibuat ejen kapal tersebut hari sama.

Dilaporkan MV Dai Cat 06 keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Dis 2022 menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Dis 2022.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *