OPERASI DOBI LAYAN DIRI, KEDAI CERMIN MATA TIDAK PATUH SOP PKP, BAKAL BERDEPAN TINDAKAN


KUALA LUMPUR: Pengusaha kedai cermin mata dan dobi layan diri yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sekiranya pematuhan SOP gagal mencapai tahap memuaskan, kementerian akan mengambil tindakan drastik termasuklah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup kembali operasi industri tersebut sewaktu tempoh PKP. 

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP agar semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan membenarkan semula operasi kedai dobi layan diri dan kedai cermin mata kerana mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan ini.

Nanta berkata kerjasama semua pihak penting dalam mengimbangi keperluan antara kelangsungan ekonomi negara dan mengawal jangkitan COVID-19.

Untuk pertanyaan lanjut pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian utama 03-8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada spip@kpdnhep.gov.my.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *