Operasi Benteng tahan 88 pendatang asing, empat tekong dan seorang penyeludup


KUALA LUMPUR: Seramai 88 pendatang tanpa izin, empat orang tekong dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng ketika cuba menyusup masuk kedalam negara semalam, manakala lapan kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata semalam juga menyaksikan seramai 101 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 86 individu dikompaun, manakala 15 lagi direman.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini beliau berkata kesalahan paling tinggi yang dikesan ialah tidak memakai pelitup muka yang melibatkan 26 individu, diikuti 24 individu ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan 19 berkaitan penjarakan fizikal.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 30,314 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 69 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 9,350 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 20,893 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 680 premis perniagaan termasuk peruncit (481), pemborong (170) dan pengilang (29).

“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,225 pemeriksaan khas pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,216 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,“ katanya.-Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *