Muhyiddin pengerusi mesyuarat khas bersama Jemaah Menteri


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (pix) mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama Jemaah Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Muhyiddin yang tiba di Perdana Putra kira-kira 9.20 pagi bagi memulakan tugas hariannya, mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan pada jam 11.30 pagi dan berakhir jam 2 petang.

Sebaik mesyuarat khas itu berakhir, anggota Kabinet Barisan Nasional (BN) menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan BN.

“Nak pergilah ni, dengarnya dah mula,” katanya Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang baru-baru ini dilantik sebagai Bendahari BN.

Usaha pengamal media untuk mendapatkan butiran mengenai mesyuarat itu daripada menteri-menteri yang hadir juga tidak berjaya.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menurunkan tingkap keretanya dan melambai kepada media tanpa memberi sebarang ulasan tentang intipati mesyuarat itu.

Selain menteri-menteri Kabinet, turut menghadiri mesyuarat khas itu ialah Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini dan menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati, memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam berkata Jemaah Menteri mengambil maklum titah Seri Paduka itu dan akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah itu.

Perdana Menteri turut menjunjung kasih atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinannya serta menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.

Muhyiddin juga menyatakan keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan sekarang adalah untuk melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.

Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas hampir tiga jam di Istana Negara semalam bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Jumaat lepas.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan, Muhyiddin dipercayai turut mengadakan pertemuan bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ini berikutan kenderaan yang membawa Abdul Hadi dan Vigneswaran dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra, kira-kira 10 minit selepas Muhyiddin tiba, dan mereka dilihat meninggalkan bangunan Perdana Putra pada jam 11.30 pagi. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *