MPP, JAKMAS UMS Perlu Berperanan Sebagai Ejen Memacu Kecemerlangan Universiti –


KOTA KINABALU: Kepimpinan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman UMS perlu memainkan peranan penting sebagai ejen penghubung antara pengurusan universiti dan pelajar dalam mencapai agenda kecemerlangan universiti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, MPP dan JAKMAS merupakan sayap kanan pengurusan universiti dalam menyampaikan mesej kepada lebih 18 ribu pelajar UMS, serta menjadi suara kepada seluruh pelajar bagi membantu pengurusan universiti menangani sebarang isu atau permasalahan berkaitan pelajar.

“Universiti misalnya mahu melahirkan graduan universiti yang tidak hanya sebagai memenuhi keperluan industri semata-mata tetapi turut berperanan sebagai penggerak kepada membangunkan negara seperti menjadi usahawan yang berjaya.

“Untuk mencapai hasrat tersebut, para pelajar perlu untuk mengasah kemahiran-kemahiran tertentu seperti kepimpinan, komunikasi, jati diri dan sebagainya, dan tidak hanya menumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

“Justeru, MPP dan JAKMAS perlu berperanan menyampaikan hasrat ini kepada pelajar agar matlamat universiti untuk melahirkan modal insan yang holistik mampu tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada MPP dan JAKMAS Kolej Kediaman UMS Sesi 2022/2023 di Galeri Majlis, UMS.

Tambah beliau, pelajar juga perlu mempunyai hala tuju dan objektif yang jelas tentang keberadaan mereka di universiti ini.

“Pihak pengurusan universiti juga mahu memastikan para pelajar mempunyai kehidupan seimbang dari segi jasmani dan rohani.

“Selain landskap yang cantik dan prasarana yang pelbagai, UMS melalui Pusat Sukan juga telah merangka pelbagai aktiviti sebagai tambahan kokurikulum untuk pelajar bagi tujuan tersebut,” kata Kasim.

Beliau turut menasihatkan siswa-siswi khususnya kepimpinan pelajar agar berhati-hati dalam sebarang tindak-tanduk yang boleh memberi kesan terhadap imej universiti, sama ada melalui perkataan mahupun penulisan.

“Perlu diingat para pelajar adalah duta kepada universiti, dan sebarang tingkah laku pelajar menjadi refleksi kepada mentaliti universiti itu sendiri.

“Justeru, pihak universiti berharap agar para pelajar sentiasa menjaga tingkah laku dan imej universiti, serta menanamkan sifat sense of belonging terhadap universiti.

“Para pelajar juga perlu untuk terus terlibat dengan aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan agar pelajar sendiri tidak hanya mempunyai jiwa masyarakat, tetapi mampu memindahkan ilmu pengetahuan dan inovasi yang dipelajari dari universiti kepada masyarakat setempat,” katanya.

Ujar Kasim, barisan MPP dan JAKMAS diharap dapat berganding bahu bersama pihak pengurusan untuk meneruskan keberadaan para pelajar di universiti dalam suasana baik dan harmoni bagi kecemerlangan universiti. 

Pada majlis tersebut, Kasim menyampaikan watikah pelantikan kepada lapan orang Yang Di-Pertua JAKMAS yang mewakili kolej kediaman masing-masing, serta 35 orang ahli MPP yang diketuai Presidennya, Jeeva Cassandra Abdul Mumin yang merupakan Presiden MPP wanita yang pertama di UMS.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md. Salleh; Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bongsu; dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Mohd. Raffie Janau.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *