Modal Insan Berinovasi Mampu Tingkat Kualiti Organisasi –


KOTA KINABALU: Mewujudkan modal insan berinovasi dalam sesebuah organisasi adalah amat penting dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi.

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jakaria Dasan berkata, budaya inovasi mampu memangkin kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

“Terdapat empat aspek penting yang boleh memupuk semangat inovasi dalam kalangan pekerja iaitu elemen rohani dan kepemimpinan, minat menimba ilmu, kontrak psikologi majikan dan pekerja, dan sentiasa berkarya yakni berinovasi untuk terus berjaya dalam kerjaya.

“Elemen rohani misalnya berkaitan dengan modal insan berketerampilan positif, responsif, dan proaktif disebabkan rohani seseorang individu yang memahami dan menghayati maksud dan peranan sebagai manusia yang dengan tujuan untuk menjadi ikutan yang baik kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Modal Insan Berinovasi sempena Hari Inovasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu baru-baru ini.

Jakaria turut menjelaskan modal insan yang berinovasi juga adalah mereka yang cinta dan minat kepada ilmu, dan dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan digitalisasi pada masa kini, pelbagai platform pendidikan ilmu boleh diakses bagi mengasah kemahiran.

“Modal insan berinovasi juga faham maksud kontrak psikologi yang tidak bertulis di antara majikan dan pekerja, kerana selain menyediakan peluang bekerja, majikan juga dituntut untuk memastikan pembangunan kerjaya pekerja sentiasa dibuka luas dan diberi ganjaran yang setimpal.

“Pada masa yang sama, para pekerja pula mesti komited dan mempunyai dedikasi yang tinggi, dan ini sekali gus akan merangsang semangat pekerja untuk berinovasi,” kata Jakaria.

Beliau menambah, keinginan untuk melakukan inovasi itu sendiri menjadi penentu kepada penghasilan sesebuah inovasi. 

“Pendek kata, memiliki hati nurani yang hebat hasil dari pegangan rohani yang kuat, sentiasa dahagakan ilmu, sedar akan peranan yang perlu dimainkan, dan semangat berinovasi bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti akan menjadikan seseorang itu tergolong dalam kumpulan modal insan berinovasi,” ujar beliau.

Sambutan Hari Inovasi MRSM Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh pengetuanya, Amiruddin Mohd Ghazali adalah satu inisiatif institusi pendidikan tersebut dalam menyemai dan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga kerja MRSM Kota Kinabalu yang terdiri daripada pihak pengurusan, guru dan kakitangan.

Sambutan tersebut turut memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada warga kerja yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak yang besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi termasuk dari segi aspek teknikal, dan urusan kerja seharian demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *