Misi memasyarakatkan ilmu, Kasim umum slogan ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ –


KOTA KINABALU: Keintelektualan ahli akademik yang pelbagai perlu ditransformasi bagi menghasilkan ramuan menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, universiti tidak boleh lagi berpegang pada ‘status quo’ berperanan hanya sebagai kilang menghasilkan graduan berkualiti semata-mata.

“Pada era teknologi dan digitalisasi ini, peranan universiti sudah pun meluas mencakupi segenap spektrum kehidupan masyarakat

“Inovasi dan kreativiti yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bagi mempertingkatkan kemaslahatan hidup masyarakat adalah sesuatu yang sangat diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga UMS secara dalam talian di sini, pada Ahad.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, Kasim mengumumkan slogan baharu ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ sepanjang tahun 2023.

“Sematkan dalam minda kita semua akan kesedaran bahawa kita adalah institusi ilmu yang lahir dan bertapak di Sabah. Universiti awam yang terhasil dari cetusan nurani rakyat di negeri Sabah.

“Tanamkan dalam jiwa kita semua bahawa kita adalah aktor penting sesuai dengan kepakaran yang kita ada dalam sama-sama bertanggungjawab membangun kehidupan masyarakat,” tegasnya.

Anak jati Sabah kelahiran Kampung Rampayan Manggatal itu turut mengajak seluruh warga UMS bersama-sama dalam merealisasikan misi tersebut.

“Marilah kita berganding bahu bersama menggenggam amanah, mendukung tanggungjawab dan melunas bakti sebagai universiti yang sentiasa mendekati masyarakat kita.

“Sama ada sebagai ahli akademik, kakitangan pentadbiran, mahu pun pelajar, kita mampu menjadikan keberadaan UMS di Sabah khasnya menjadi lebih bermakna.

“Akhirnya, UMS yang anggun berdiri di lokasi selesa dan strategik dalam Bandar Raya Kota Kinabalu ini dirasai sama akan rasional kewujudannya di segenap pelusuk tanah air khususnya dalam negeri Sabah yang luas ini.

“Realisasikan dengan produktiviti dan dedikasi menjayakan bersama kesungguhan kita ini meletakkan UMS peneraju ke arah masyarakat berinovatif,” katanya.

Kasim turut menyatakan kejayaan kepimpinan universiti sebelum ini juga perlu dipertahankan dan dipertingkatkan.

Ujarnya, selain melipatgandakan usaha sedia ada, pendekatan-pendekatan strategik diperlukan bagi mendepani cabaran baharu dan mengatasi dugaan yang menuntut keterbukaan minda.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *