Melaka rangka garis panguan penubuhan pusat sukan elektronik


MELAKA: Kerajaan negeri Melaka melalui Jawatankuasa Pemantau e-Sport (JPeS) telah merangka garis panduan bagi penubuhan pusat sukan elektronik di negeri itu, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.

Exco Belia dan Sukan Mohd Rafiq Naizamohideen (gambar) berkata garis panduan berkenaan merangkumi aspek pelesenan, pengurusan, syarat permohonan, syarat am reka bentuk, kawasan dan masa operasi, larangan yang dikenakan pada pusat berkenaan dan jenis sukan elektronik yang diketengahkan.

“Garis panduan ini akan menjadi rujukan kepada penggiat sukan elektronik untuk memastikan penubuhan pusat sukan elektronik yang bersepadu dan moden di negeri ini mengikut syarat yang ditetapkan sekali gus melancarkan aktiviti pembangunan sukan elektronik.

“Garis panduan itu juga bertujuan mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap penggiat sukan elektronik dan juga industri itu,“ katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai).

Terdahulu, Hasan ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai cadangan menyediakan garis panduan penubuhan hub sukan elektronik khususnya untuk perkembangan sukan itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal dikemukakan Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) berkaitan usaha yang dilakukan bagi melahirkan lebih ramai atlet sukan elektronik di peringkat daerah dan negeri, Mohd Rafiq berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama antara kerajaan negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negeri Melaka dengan Persatuan Sukan Elekronik Negeri Melaka (MEA).

Beliau berkata pencarian bakat atlet sukan tersebut dilakukan menerusi penganjuran pelbagai kejohanan dan konsep sistem ranking diguna pakai sebagai rujukan bagi memudahkan saringan pengkelasan atlet.

“Selain itu, maklumat peserta juga direkodkan dan sentiasa dikemas kini bagi memudahkan proses pemilihan atlet bagi mewakili Melaka dalam mana-mana kejohanan sukan elektronik,“ katanya.- Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *