Masyarakat Johor diingatkan waspada dengan kit ujian Covid-19 di media sosial


JOHOR BAHRU: Orang ramai di negeri ini diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membeli kit ujian pantas pengesanan Covid-19 yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata peringatan itu diberikan berikutan terdapat banyak penjualan kit ujian pantas Covid-19 di Facebook, yang mendakwa orang ramai boleh menjalankan ujian sendiri.

Beliau berkata kit ujian terbabit berkemungkinan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ujian Covid-19 hanya boleh dilakukan oleh anggota yang telah dilatih oleh KKM. Prosedur ketat terutamanya di dalam penggunaan Peralatan Penggunaan Diri (PPE) dan pengurusan orang berjangkit adalah perlu.

“Maka, seseorang yang tidak terlatih, tidak boleh menjalankan ujian kerana boleh mendedahkan diri kepada jangkitan dari orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya mendapatkan nasihat dan ujian yang bersesuaian daripada klinik-klinik awam atau swasta yang telah dilatih oleh KKM.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan dalam kenyataan sama, berkata Johor buat julung kalinya menghantar seramai 106 pesakit positif Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, semalam.

Menurut beliau, pesakit warga asing itu dihantar ke MAEPS melalui Pejabat Kesihatan Daerah Muar untuk menjalani rawatan selama 10 hari dengan penghantaran diselaraskan bersama Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *