Malaysia import bawang dari pelbagai negara, elak gangguan bekalan


PUTRAJAYA: Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai strategi untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka Malaysia tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin menerima impaknya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 negara dengan lima negara adalah pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9.0 peratus) dan Thailand (7.0 peratus).

Katanya, India merekodkan jumlah terbesar pengimportan bawang iaitu sebanyak 149,539,411 kilogram (kg) dan jumlah itu adalah berdasarkan ‘minat dan cita rasa rakyat Malaysia’.

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import, Bawang Besar Import, Bawang Kecil Merah Rose Import (India); Bawang Merah Import, Bawang Kecil Merah Import (China); Bawang Kecil Merah Import (Myanmar); Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).

Pada 14 Sept kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bertujuan menampung keperluan domestik di negara berkenaan berikutan bencana banjir yang berlaku pada Julai lepas.

Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Dalam pada itu, Nanta berkata harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik. Inilah juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,“ katanya.

Sementara itu, Nanta berkata pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berkaitan bekalan dan harga bawang termasuk di peringkat pembekal, pemborong dan peruncit.

Katanya, pihak kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan harga kawalan seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *