Makmal swasta, minta tolong dulu kasi giat ujian Covid-19: KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa makmal swasta untuk menggiatkan ujian Covid-19.

Menurut Noor Hisham, pada masa ini mereka hanya beroperasi kurang separuh daripada kapasiti maksimum.

“Kita perlu gesa 31 makmal swasta agar lebih banyak ujian dilakukan.

“Pada masa ini mereka beroperasi kurang 30 peratus daripada kapasiti,” katanya di Twitter.

Sebagai perbandingan, Noor Hisham memberitahu Malaysiakini yang makmal kerajaan beroperasi dengan kapasiti penuh.

“(Kemudahan Kementerian Kesihatan) Kami hampir seratus peratus,” katanya.

Untuk rekod, kapasiti ujian seluruh negara merangkumi makmal kerajaan dan juga swasta.

Katanya lagi, makmal universiti juga masih boleh meningkatkan kapasiti ujian mereka.

Dia juga sekali lagi berkata kes positif sering dilaporkan lebih awal berbanding kes negatif kerana pengesanan kontak perlu dilakukan segera.

Ia menyebabkan angka positif yang tinggi.

Katanya lagi, makmal swasta terutamanya lambat dalam melaporkan keputusan ujian yang negatif.

Semalam, sebanyak 83,731 ujian Covid-19 dilakukan di negara ini. Ia sedikit kurang berbanding 90,238 ujian pada tujuh hari sebelumnya.

Sejumlah pihak sebelum ini membangkitkan kebimbangan berhubung kemungkinan gambaran penularan wabak yang kurang tepat, dan sama ada jumlah ujian yang diadakan memadai atau tidak.

Sebagai contoh, data ujian antara 6 hingga 12 Jun di Negeri Sembilan menunjukkan kadar positif yang tinggi, iaitu 10.82 peratus daripada ujian yang dilakukan.

Ia jauh berbeza dengan kadar 1.81 peratus hingga 8.85 peratus di negeri-negeri lain.

Ia menunjukkan jumlah ujian yang dilakukan di Negeri Sembilan tidak memadai dan kemungkinan jumlah kes lebih tinggi daripada jangkaan di negeri itu. Perkara itu dapat dilihat menerusi peningkatan kes positif di sana pada minggu ini.

Selama lima hari berturut-turut, Negeri Sembilan menjadi negeri dengan kes baru kedua tertinggi – selepas Selangor.

Selain Negeri Sembilan, Labuan juga mencatatkan kadar positif 13.72 peratus antara 6 hingga 12 Jun.

Pada minggu ini, Hospital Labuan dilaporkan berdepan kesukaran menampung kes. Bagaimanapun, sebuah hospital medan dijangka mula beroperasi minggu depan. – Malaysia Kini





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *