Macau Scam, judi dalam talian: Kertas siasatan babit pegawai, anggota polis akan dibuka


KUALA LUMPUR: Kertas siasatan pembabitan pegawai kanan dan anggota polis disyaki mempunyai kaitan dengan individu ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam akan dibuka berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (pix) berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu maklumat lanjut daripada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu.

“Saya masih tunggu maklumat daripada SPRM (dan) apabila memperolehi maklumat itu maka kami akan meneruskan dengan siasatan seterusnya.

“Ketika ini pegawai kanan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang mempunyai kaitan dengan Macau Scam dan judi dalam talian itu ditempatkan di jawatan yang tidak sensitif namun itu tidak bermakna ia berhenti di situ saja. Saya akan mempertimbangkan tindakan lanjut apabila dapat maklumat,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata setakat ini seramai 24 pegawai dan anggota polis sedang disiasat daripada pelbagai sudut tatatertib berhubung kes itu.

“Sekarang ini, kami dalam proses mengambil keterangan serta mengumpul bahan bukti berhubung dakwaan yang mengatakan mereka ini terbabit dalam kes itu.

“Setelah selesai siasatan kes berkenaan, kami membuat syor kepada pihak berkuasa tatatertib untuk mereka dikenakan hukuman sekiranya terdapat bukti jelas dan kukuh berhubung pembabitan mereka dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM boleh digilirkan lebih kerap sehingga tiga tahun bagi setiap giliran untuk mengelakkan salah laku dalam kalangan pegawai kanan dan anggota polis.

Beliau berkata berbanding amalan ketika ini, jawatan sensitif dalam pasukan polis disandang lebih lama iaitu ada kalanya dalam tempoh sehingga lima tahun untuk seseorang penyandang.

“Penggiliran dengan cara menukarkan pegawai di jawatan sensitif ini akan dilakukan di semua peringkat melibatkan pegawai kanan polis peringkat tertinggi ataupun rendah asalkan ia adalah jawatan sensitif.

“Jawatan sensitif ini boleh saya definasikan sebagai pegawai dan anggota yang banyak melakukan operasi dan terbabit dalam serbuan,” katanya.

Beliau berkata semakan terhadap latar belakang dan rekod terdahulu seseorang pegawai dan anggota polis sentiasa dilakukan bagi menentukan kelayakan dan integriti seseorang individu untuk memegang jawatan sensitif dalam pasukan itu.

Isnin lepas, Bernama melaporkan pegawai kanan PDRM adalah antara yang diambil tindakan berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket berkenaan.

Kes itu turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan PDRM, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu ditukarkan.

Susulan itu, pada Selasa, Bernama melaporkan penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan.

Langkah itu diambil untuk memberi peluang kepada lebih ramai pegawai dalam PDRM untuk menimba pengalaman dalam melakukan tugasan penting dalam pasukan itu dan bagi mengelak kebarangkalian kejadian salah laku dalam kalangan mereka. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *