Low Yee Teng, Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMS –


Oleh: Nur Faezah Binti Roslan (Pelajar Komunikasi FSSK)

KOTA KINABALU: Graduan Fakulti Perhutanan Tropikal (FPT), Low Yee Teng, 24, berjaya merangkul Anugerah Pelajaran Diraja Bukan Bumiputera UMS pada istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS.

Yee Teng, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) menerima anugerah itu selepas mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91.

Beliau sangat bersyukur kerana terpilih menjadi penerima anugerah tersebut.
“Saya segera menghubungi ibu bapa selepas mengetahui bahawa saya akan menerima anugerah ini dan mereka sangat gembira.

“Saya dedikasikan juga anugerah ini kepada keluarga kerana sering memberikan sokongan dan semangat lebih-lebih sewaktu pandemik walaupun kami tinggal berjauhan selama 2 tahun,” katanya ketika ditemui.

Antara rahsia kejayaan beliau adalah belajar bersungguh-sungguh untuk mengembangkan ilmu dalam bidang yang ingin diceburi.

“Belajar dengan bijak untuk belajar dalam subjek semasa anda. Kesemua yang dipelajari berkaitan antara satu sama lain, hanya menjadi penyambung.

“Aktif semasa kokurikulum sangat penting untuk mendapat banyak pengetahuan dan pengalaman melalui komunikasi bersama rakan-rakan dan orang baharu,” tambahnya  yang pernah menggalas jawatan Exco Seni dan Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar UMS 2020/2021.

Yee Teng kini sedang menjalani latihan industri selama 6 bulan di AIMS Communication and Engagement Intern di Pusat Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO RIHED) yang mengkhusus dalam pembangunan pendidikan tinggi di Thailand.

Pemuda yang berasal dari Selangor ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi tunjuk ajar sepanjang 4 tahun melanjutkan pengajian di UMS.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *