Living-Lab UMS Pangkin Kesedaran Masyarakat Mengenai Ekonomi Kesihatan, Pencetus Pewujudan Pusat Latihan Perubatan Bencana –


Salah satu daerah di Sabah yang dilaporkan sebagai daerah termiskin adalah Kudat. Daerah lain yang berhampiran ialah Kota Marudu, dan Pitas. Ada pihak yang meragui hal ini khususnya hal berkaitan metodologi yang digunakan. Sebagai contoh pembolehubah pemilikan tanah, pekerjaan kampung yang lestari tetapi hasil pendapatan yang tidak menentu, atau kecil, dan pulangan pendapatan yang cukup makan sahaja adalah antara beberapa faktor berpengaruh dalam mengkategorikan sesebuah daerah itu sebagai miskin atau termiskin. Pendek kata, isu rujinya ialah sejauh mana para penduduk di kawasan luar bandar ini berpeluang untuk mengubah nasib hidup mereka di samping memastikan tingkat kesedaran kesihatan diri sentiasa terpelihara.

Menyedari hal ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengepalai inisiatif penting menghidupkan Living-Lab berteraskan kesihatan yang telah dilancarkan pada 6 Januari 2023 oleh Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor di Pusat Pendidikan Perubatan Luar Bandar di Sikuati (RMEC), Kudat.

Dalam ucapan aluaannya, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, sejak 13 tahun RMEC berada di Sikuati, Kudat, kesedaran masyarakat sekeliling semakin meningkat mengenai peri pentingnya faktor penjagaan kesihatan yang sekaligus menurunkan kadar kes berkenaan.

Sedikit sebanyak hal ini telah membolehkan masyarakat setempat dan sekitarnya menjalankan aktiviti sosio-ekonomi dengan lebih lancar.

Dalam nada yang sama, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor, seorang pakar ekonomi dan juga merupakan ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Sabah, berkata untuk melonjak ke hadapan dalam aspek perekonomian, masyarakat hendaklah dididik mengenai perkaitan di antara kesihatan dan ekonomi. Aspek kesihatan jika diabaikan boleh membawa kepada kemelaratan hidup disebabkan oleh kemelesetan ekonomi yang berpanjangan.

“Lihatlah sendiri betapa hebatnya padah yang berlaku kepada manusia di seluruh dunia akibat serangan COVID-19. Makhluk yang sangat halus dapat menembusi pertahanan kesihatan manusia sehinggakan ramai yang terkorban dan selebihnya, hidup dalam ketakutan.” Ujar Datuk Kasim.

Tambah Datuk Kasim lagi “penjarakkan yang berlaku telah menyebabkan rantai kitaran ekonomi terbantut dan terjejas teruk. Hal ini membawa kepada krisis pekerjaan termasuklah pengehadan punca mata pencarian. Sosio-ekonomi yang tidak berkembang itu turut menyebabkan pertambahan kumpulan isi rumah termiskin.”

Selagi mana kita masih berada dalam tempoh endemik, kita perlulah berusaha menjaga kesihatan diri kita dengan mematuhi saranan-saranan penjagaan kesihatan yang diberikan. Saranan-saranan ini termasuklah kelak hasil-hasil penyelidikan yang bakal dilakukan dalam living-lab di Makmal Penyelidikan Perubatan Luar Bandar, RMEC.

Selain itu, Prof Datuk Dr Kasim juga diberi taklimat mengenai perancangan mewujudkan pusat latihan perubatan bencana oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPSK, Profesor Madya Dr. Fairrul Masnah@Kadir, Hal ini akan turut menjadi fokus kepada living-lab di RMEC ini kelak. Sebut sahaja beberapa kejadian bencana dalam negara seperti tragedi tanah runtuh di Batang Kali, banjir setiap hujung dan awal tahun, gempa bumi di Sabah, dan ribut tropika Greg di Keningau serta pelbagai mala petaka yang berlaku di beberapa negara seperti gempa bumi di Cianjur, gempa bumi Fukushima, dan sunami di Acheh maka terlintaslah dalam fikiran kita perlunya suatu pusat latihan perubatan bencana ini diwujudkan dalam negara agar kita mempunyai cukup persediaan menghadapi bencana tidak diundang kelak.

Hal ini menarik perhatian Naib Canselor dan percaya bahawa jika dirancang dengan baik, maka keluasan tanah yang berbaki 60 peratus di RMEC boleh dibangunkan bagi mewujudkan sebuah kompleks simulasi bencana sebagai pusat latihan perubatan bencana yang serba lengkap dan mampu bertindak sebagai living-lab yang akan memberi pendedahan mengenai pengurusan bencana dari pelbagai musibah khususnya dari akibat tindak balas alam semulajadi.

Menyentuh mengenai perancangan ini, Profesor Datuk Dr Kasim percaya bahawa dengan kelengkapan alat teknologi dan kepakaran pensyarah dari pelbagai bidang dalam pengurusan bencana yang ada di UMS, maka pusat latihan perubatan bencana tidak mustahil untuk direalisasikan dengan jayanya.

Hadir sama dalam program ini ialah Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Robert Francis Peters (Pengarah Eko-Kampus), Dr. Jakaria Dasan (Pengarah Pusat Komunikasi Korporat), Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah), Profesor Madya Dr. Saihpudin@Sahipudin Saupin (Timbalan Dekan Hal-Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti), Talib Abdullah Shani (Timbalan Pendaftar Kanan), Dr. Mohd Faizal Madrim (Ketua RMEC), Ketua-Ketua Program dan para pegawai serta kakitangan RMEC, Sikuati Kudat dan UMS induk.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *