Lebih 90% rakyat Malaysia bimbang guna pengangkutan awam ketika Covid-19


KUALA LUMPUR: Hasil kaji selidik dijalankan baru-baru ini mendapati lebih daripada 90% rakyat Malaysia bimbang menggunakan pengangkutan awam di dalam persekitaran penularan Covid-19 dan lebih menggemari memandu kenderaan sendiri sebagai langkah keselamatan.

Hasil kaji selidik oleh WapCar, sebuah hab kandungan automotif berasaskan teknologi mendapati sebilangan besar responden lebih cenderung untuk mengurangkan perbelanjaan dan memilih harga yang berpatutan apabila membeli sebuah kereta.

Ia juga mendapati sebanyak 57.9% daripada responden berkata mereka tidak akan menggunakan pengangkutan awam manakala 32.7% akan menggunakan pengangkutan awam walaupun mereka bimbang mengenai keselamatan kesihatan.

Daripada 318 responden yang menyertai kajian tersebut, sebanyak 55.4% berkata mereka akan mempertimbangkan semula rancangan untuk membeli kereta baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Walaupun rakyat Malaysia mementingkan keselamatan, mereka tetap memilih untuk menggunakan pengangkutan awam sama ada mereka mahu berjimat cermat atau tiada pilihan lain,” kata WapCar.

Kaji selidik itu turut mencerminkan trend jualan kereta serta peningkatan permintaan kereta terpakai di Malaysia pada bulan Jun tahun ini yang dilaporkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

Justeru, kaji selidik itu menyokong pengumuman MAA bahawa trend jualan kereta akan cenderung kepada kenderaan lebih murah dan jimat bahan api.

Dalam pada itu, sebanyak 83% responden bersetuju bahawa harga dan diskaun adalah faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan mereka apabila membeli sebuah kereta dan kira-kira 47% daripada responden berkata mereka hanya membeli kereta baharu yang berharga kurang daripada RM100,000.

Kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa 70% daripada responden menyatakan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi dan ia mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli kereta baharu.

Hampir 50% responden berkata mereka lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan memilih untuk menyimpan bagi kegunaan ketika kecemasan daripada membeli barangan mahal seperti kereta bagi tempoh enam bulan akan datang.

Kaji selidik yang dilakukan oleh WapCar selama seminggu pada Julai lepas itu adalah untuk memahami kebimbangan pembeli kereta dan bagaimana industri automotif dapat memenuhi kehendak yang dinyatakan responden tersebut. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *