LEBIH 500 DI KIULU, TAMPARULI SERTAI UPKO


TUARAN: Seramai 513 individu daripada pelbagai parti termasuk Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Barisan Nasional (BN) keluar daripada parti masing-masing dan menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), hari ini.

Kemasukan ke dalam UPKO itu juga membabitkan individu ‘atas pagar’ atau yang tidak berparti daripada sekitar Kiulu dan Tamparuli.

Antara yang bertindak demikian termasuk pengerusi tetap STAR di Kiulu, Justin Geduik yang mengumumkan keluar daripada parti berkenaan untuk menyertai UPKO.

Selain Justin, turut berbuat demikian ialah ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Kiulu yang juga ketua JDM Kampung Kalawat, Anthony Ahoi, Ketua JDM Taginambur, Itim Garakan serta Exco Wanita STAR pusat yang juga setiausaha penganjur STAR Kiulu, Julianah Ekang.

”Setelah memikirkan dengan penuh pertimbangan dan rasional, kami sebulat suara mengambil keputusan untuk keluar daripada STAR dan ini disebabkan kami telah kehilangan kepercayaan kepada pujuk pimpinan STAR yang tidak konsisten dalam perjuangan serta hala tuju parti.

“Keputusan kami berkuatkuasa serta-merta dan kami juga meletak jawatan daripada semua jawatan-jawatan kami dalam parti,” katanya.

Justin berkata, STAR kini sudah lari daripada landasan dan agenda perjuangan sebelum ini malah bersahabat pula dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi musuh utama mereka sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi.

”Apabila saya imbas kembali penglibatan kami dalam parti, kami telah berjuang dan berkempen untuk STAR sejak dari PRU13 hinggalah pada PRU14 yang lalu.

”Agenda utama perjuangan kami pada masa itu adalah untuk mengalahkan regim UMNO BN malah antara agenda utama perjuangan presiden parti, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika itu adalah untuk mengalahkan UMNO BN yang telah banyak merosakkan politik dan ekonomi negeri Sabah bahkan ramai pemimpin-pemimpin UMNO ketika terbabit dengan salah guna kuasa serta rasuah.

”Bagaimanapun selepas PRU14, keputusan presiden parti (STAR) untuk menyokong (Tan Sri) Musa Aman ketika itu adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan dan bertentangan dengan kehendak kami yang mahukan perubahan serta menolak parti UMNO BN,” katanya.

Justin berkata, sebelum ini, Jeffrey dalam buku Agenda Borneo yang ditulisnya jelas menyatakan STAR menentang penguasaan parti Malaya di Sabah.

Malah, katanya, presiden STAR itu sendiri mengatakan kemasukan UMNO ke Sabah adalah kemuncak kepada usaha Kuala Lumpur untuk memastikan Sabah tunduk kepada kekuasaan mereka.

”Menurut beliau (Jeffrey) perjuangan STAR adalah adalah untuk memastikan Sabah diperintah oleh parti tempatan dan tidak lagi terikat kepada kerajaan persekutuan.

”Beliau juga berkata, kita boleh membuat keputusan sendiri apabila Sabah ini ditadbir oleh parti tempatan namun apa yang belaku hari ini ialah presiden STAR itu sendiri telah bersekongkol dan bekerjasama dengan UMNO BN di mana ia bertentangan dengan perjuangan asal kami yang menyokong STAR sebelum ini.

”Justeru, saya dan rakan-rakan telah mengambil keputusan untuk keluar daripada STAR dan keputusan ini kami buat tanpa ada sebarang unsur paksaan ataupun tekanan dari mana-mana pihak, sebaliknya adalah atas kerelaan kami sendiri,” katanya.

Sementara itu, Justin turut berkata, keputusan mereka menyertai UPKO adalah bagi meneruskan perjuangan selepas menilai serta melihat perkembangan politik terkini khususnya di Sabah.

”Kami dapati UPKO adalah satu-satunya parti yang sangat konsisten dalam perjuangannya. Selepas UPKO dijenamakan semula baru-baru ini, kami dapati parti ini semakin mendapat sokongan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.

”Kami yakin bahawa keputusan kami untuk menyertai UPKO di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau adalah keputusan terbaik demi kelangsungan perjuangan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah.

”Selain itu, kami juga ingin menyatakan sokongan kepada Kerajaan Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan UPKO di bawah kepimpinan ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus menerajui kerajaan negeri ini.

”Akhir sekali, kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat maju jaya kepada president STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan juga seluruh AJK STAR Bahagian N.11 Kiulu kerana memberikan kami peluang untuk bersama-sama selama ini,” katanya lagi.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *