KPDNHEP keluar kompaun RM308,500 sepanjang SHMMP tiga perayaan


KUALA PILAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM308,500 sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020, yang berakhir Rabu lepas.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata jumlah kompaun itu merangkumi 147 kes termasuk empat daripadanya adalah pemborong atas pelbagai kesalahan termasuk menjual barangan kawalan melebihi harga yang telah ditetapkan.

“Ada satu kes baru-baru ini di Kuala Lumpur membabitkan pemborong ayam menjual lebih daripada harga maksimum borong ditetapkan dan dikompaun RM50,000. Kita ambil tindakan tegas kali ini dengan menaikkan kadar kompaun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang kawalan di pasar Kuala Pilah dan pasaraya Giant di sini, hari ini.

Turut serta Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Pengurusan) KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah kompaun kali ini juga menyaksikan peningkatan berbanding skim yang sama pada tahun lepas iaitu berjumlah RM46,550 membabitkan 362 kes.

“Ini kerana nilai kompaun yang kenakan pada skim kali ini telah meningkat iaitu minimum RM1,000 berbanding RM100 ke RM200 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga dan RM2,500 hingga RM5,000 bagi kesalahan menjual melebihi harga siling berbanding sebelum ini RM250 bagi peruncit manakala pemborong pula, kompaun maksimum RM50,000 berbanding sebelum ini RM5,000,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata tinjauan selepas berakhirnya SHMMP di seluruh negara juga mendapati berlaku kenaikan harga ayam sehingga RM8.50 berbanding RM7.50 ketika skim berkenaan berkuat kuasa.

“Kita akan siasat kenapa berlaku peningkatan mendadak ini, contohnya hari ini saya dapati ada pemborong naikkan harga ayam 50 sen sekilo ke RM6.70 kepada peruncit dan menyebabkan peruncit terpaksa menjual pada harga lebih RM8.

“Pihak kita telah menjangkakan (kenaikan harga) sebab apabila kita kawal pada harga RM7.50 sekilogram selama 15 hari (pelaksanaan) SHMMP itu, ramai peruncit, pemborong menyatakan margin keuntungan mereka terjejas,” katanya. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *