Kluster baharu dikenal pasti babitkan kru kapal di Johor


KUALA LUMPUR: Satu lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Orkim di Johor, melibatkan kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama bagi kluster itu adalah kes ke-10572, seorang kru kapal warga Indonesia.

“Beliau telah ‘sign-in’ di Singapura pada 10 Sept. Kes mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 Sept namun tidak memaklumkan kepada majikan.

“Beliau telah ‘sign-off’ pada 17 Sept dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 Sept, kemudian dirujuk ke Hospital Permai, Johor dan didapati positif C-19 pada 23 Sept sebelum dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan terhadap kru kapal berkenaan mendapati kes kedua positif membabitkan warga Indonesia yang tidak bergejala, dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

“Seramai 30 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring dan daripada jumlah itu, dua dikesan positif, 24 negatif dan empat masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut serta punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Mengenai status terkini tiga kluster di Sabah, Dr Noor Hisham berkata kluster Bangau-Bangau meningkat kepada 134 kes susulan pertambahan 74 kes baharu hari ini, diikuti kluster Benteng LD yang bertambah 13 kes kepada 743 kes, dan kluster Laut meningkat dua kes kepada 24 kes.

Bagi kluster Sungai, terdapat tujuh kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 98 kes, katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster berkenaan masih diteruskan serta status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *